Terengganu melonjak ke tangga teratas 100PLUS Liga Premier buat pertama kali sekaligus menyalakan harapan untuk kembali beraksi di Liga Super setelah menewaskan pendahulu sebelum ini, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Selayang, pada Jumaat.
Tcheche Kipre menjaringkan gol pertama Terengganu pada minit ke-18 sebelum Guilherme De Paula mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-62. Gol kemenangan buat sang penyu hadir lima minit sebelum tamat permainan menerusi penalti disempurnakan Gabriel Davis.
Kemenangan menyaksikan skuad bimbingan Irfan Bakti muncul pendahulu baru dengan mengumpul 37 mata dari 17 perlawanan manakala Kuala Lumpur (35 mata) tergelincir ke tangga ketiga. Ia juga kekalahan pertama buat skuad helang kota setelah menang lapan perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Negeri Sembilan pula mengukuhkan cengkaman di tangga kedua dengan 36 mata setelah menewaskan Kuantan FA dengan jaringan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Lee Andrew Tuck membuka jaringan pada minit ke-17 buat sang rusa sebelum Jonathan Henri menambah dua jaringan pada minit ke-40 dan 77.
Sementara itu, PKNP FC turut tidak ketinggalan untuk terus memberikan tekanan kepada kelompok tiga teratas setelah menewaskan ATM 4-0 di gelanggang lawan.
Shahrel Fikri menjaringkan dua gol pada minit ke-18 dan 29 manakala Hafiz Ramdan dan Hyeon Woo Kim menyumbang satu gol masing-masing pada minit ke-24 dan 55 untuk membolehkan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim mengukuhkan kedudukan mereka di tempat keempat dengan 34 mata.
Pasukan tangga kelima, Johor Darul Takzim pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Uitm FC menerusi jaringan Syafiq Shaharudin pada minit ke-17 di Stadium Jcorp, Pasir Gudang.
Dalam perlawanan lain, Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila melakar kemenangan keenam musim ini dengan menewaskan pasukan tangga tercorot, MISC-MIFA 2-1 di Likas.
Gol oleh Sabri Sahar pada minit ke-15 dan 27 sudah memadai untuk skuad bimbingan Jelius Ating menghadiahkan kekalahan ke-14 buat MIFA musim ini.Â
Di utara tanah air, Perlis melonjak ke tangga ke-10 seterusnya keluar dari zon penyingkiran setelah mengejutkan PDRM dengan keputusan 3-1 menerusi dua jaringan Ndumba Makeche pada minit ke-24 dan 90 serta satu jaringan Saiful Basir pada minit ke-81. OLEH MUHAMMAD AIMAN