Jaringan pada masa kecederaan Jeronimo Barrales membantu Johor Darul Takzim II mengikat pendahulu, Negeri Sembilan 1-1 dalam aksi ke-13 100PLUS Liga Premier yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu. Â Â
Negeri Sembilan di ambang mencatat kemenangan pertama dalam tujuh perlawanan apabila mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Marko Simic pada minit ke-34 namun Barrales memastikan kemarau kemenangan skuad Asri Ninggal berpanjangan menerusi gol penyamaan lewat permainan.
Ia adalah keputusan seri 1-1 yang keempat buat skuad Jang dari lima perlawanan terakhir Liga Premier namun mereka masih kekal di kedudukan teratas dengan 30 mata manakala JDT II kekal di tangga keenam dengan 20 mata.
Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang sebelum ini di kedudukan kedua pula tergelincir ke tangga keempat setelah tewas mengejut 1-4 di tangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Walaupun mendahului menerusi jaringan Gilberto Fortunato pada minit kesembilan, PKNP gagal mempertahankan kelebihan itu sebaliknya membenarkan PDRM bangkit menerusi jaringan Safwan Baharudin (m-43, 57), Bakary Dao (m-61) dan Shamar Fadzil (m-85).
Ia adalah kekalahan pertama buat PKNP kendalian Abu Bakar Fadzim selepas 11 perlawanan liga dan kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu.
Di Gong Badak, Terengganu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Uitm FC untuk melonjak ke tangga kedua dengan 27 mata. Gol buat skuad bimbingan Irfan Bakti itu dijaringkan Nasrullah Hanif pada minit kesembilan dan Faiz âMessiâ Nasir pada minit ke-24.
Sementara itu di Kuantan, gol penyamaan minit akhir oleh Abdul Malik Mat Ariff membantu tuan rumah Kuantan FA bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Sabah.
Sabah mendahului pada minit keenam menerusi Maxsius Musa namun Malik mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-28 sebelum Sabah kemudiannya mendahului 3-1 hasil sentuhan Leopold Alfonso Otong (m-45) dan Lee Gill Hoon (m-48).
Malik menjaringkan gol kedua Kuantan pada minit ke-57 sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-90 untuk menyelamatkan satu mata buat Kuantan. Keputusan seri menyaksikan Kuantan kekal di kedudukan kelapan manakala Sabah di tangga kesembilan.
Di Nilai, Perlis mencatat kemenangan kedua musim ini dengan menewaskan pasukan bermasalah, MISC MIFA 3-2 hasil jaringan Brendon Adams (m-2, 12) dan Famirul Asraf Sayuti (m-25).
Terdahulu pada Selasa, Kuala Lumpur mencatat kemenangan kelima berturut-turut dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 6-0 di Stadium Selayang di mana tonggak import, Guilherme De Paula menjaringkan kesemua enam gol.
Kemenangan itu menyaksikan Kuala Lumpur melonjak ke kedudukan tiga teratas Liga Premier. – OLEH MUAHMMAD AIMAN