Sekolah Sukan Negeri Terengganu, SMK Bukit Nenas menjaringkan gol penyamaan lewat permainan sekaligus menafikan hasrat SMK Za’ba membawa pulang tiga mata dalam aksi Liga Super Piala Remaja KPM-FAM Bawah 17 tahun.
Pada aksi berlangsung di Setiu itu, SMK Za’ba dilihat begitu hampir meraikan kemenangan apabila menjaringkan gol tunggal mereka pada minit ke-77 menerusi Abdul Harith Rosedin.
Namun, tuan rumah berjaya mencuri satu mata apabila Zulfikri Muhammad menyamakan kedudukan tiga minit kemudian. Perlawanan itu adalah yang pertama bagi kedua-dua pasukan bagi saingan musim baru.
Jurulatih SMK Za’ba, Bahrom Tahir bagaimanapun berpuas hati dengan keputusan seri yang disifatkannya sebagai adil buat kedua-dua pasukan.
“Bagi saya ia aksi seimbang, Terengganu tekan daripada awal mungkin kerana faktor padang. Kita pula tidak bermain seratus peratus sebab kita tiada dua pemain utama, jadi pertahanan pun kucar-kacir. Apapun, datang jauh kita puas hati balik dengan satu mata.”
Dalam aksi lain, SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang melonjak ke kedudukan teratas liga setelah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sekolah Sukan Negeri Sarawak, SMK Tabuan Jaya.
Zairul Nurhisyam Radzi menjaringkan gol pada minit keenam dan Danial Irfan Nadzri menyumbangkan dua gol buat SMK Mutiara Impian pada minit ke-68 dan 85.
Sementara itu, Sekolah Sukan Negeri Pahang, SMK Seberang Temerloh turut terlepas peluang mengutip tiga mata apabila melepaskan gol penyamaan pada minit akhir permainan untuk sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang SMK Seri Titiwangsa.
SMK Seberang Temerloh mendahului pada minit ke-50 menerusi Hafizi Ismail namun Muqhlis Nazri menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk menyelamatkan satu mata buat wakil Kuala Lumpur itu.
Dalam saingan Liga Perdana Piala Remaja KPM-FAM B-17 pula, Sekolah Sukan Negeri Melaka, SMK Seri Kota mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas setelah menewaskan wakil Perak, SMK Gunung Rapat 1-0 di gelanggang sendiri.
Gol tunggal SMK Seri Kota dijaringkan oleh Nazreyzal Aiza sekaligus membolehkan mereka mendahului carta dengan enam mata hasil dua kemenangan.
SMK Tun Hussein Onn dari Johor pula melakar kemenangan pertama setelah menewaskan SMK Kem Terendak (Akademi ATM) 2-1 sementara SMK Datuk Peter Monjuntin pula membuka tirai musim dengan kemenangan 1-0 ke atas MSS Putrajaya.
Di Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R tunduk 1-2 kepada wakil Selangor, SMK Seksyen 11.