Jaringan tunggal Khairul Anwar Shahruddin pada minit ke-62 membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis pada Jumaat seterusnya mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas 100PLUS Liga Premier.
Kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu menoktahkan rentetan empat keputusan seri berturut-turut dilakar skuad bimbingan Asri Ninggal sebelum ini sekaligus membolehkan mereka mengungguli carta liga dengan 32 mata dari 14 perlawanan.
Pencabar terdekat, Kuala Lumpur pula kekal tiga mata di belakang setelah mencatat kemenangan keenam berturut-turut dengan menundukkan pasukan berwajah baru MISC-MIFA 2-1 di Stadium Uitm Shah Alam.
Paolo Josue Sturmer Dos Reis membuka jaringan pada minit ke-28 diikuti jaringan Abdul Manaf Mamat lima minit kemudian membolehkan skuad helang kota mendahului 2-0 di separuh masa pertama. Â Â Â
Meskipun MISC-MIFA berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-60 menerusi Luiz Eduardo namun ianya gagal menghalang mereka dari mengalami kekalahan ke-12 musim ini sekaligus kekal di kedudukan ke-10 dengan hanya enam mata.
Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC melonjak ke tangga ketiga dengan 28 mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Uitm FC menerusi jaringan tunggal pemain import dari Korea Selatan, Hyeon Woo Kim.
Aksi lain menyaksikan Terengganu bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat Johor Darul Takzim II 2-2 di gelanggang sendiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
JDT II mendahului 2-0 menerusi jaringan Alexander Smith (m-5) dan Syazwan Andik Ishak (m-11) sebelum skuad bimbingan Irfan Bakti itu menyelamatkan satu mata melalui jaringan Faiz Nasir (m-47) dan R.Partiban (m-51).
Dengan 28 mata, Terengganu berada di kedudukan keempat manakala JDT II pula di tangga kelima dengan 21 mata.
Di Stadium Hang Jebat, tuan rumah PDRM tunduk 0-1 kepada Sabah hasil jaringan tunggal Lee Gil Hon pada minit ke-78 manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Kuantan FA menewaskan ATM 3-1 di Stadium Darulmakmur.
Gol buat Kuantan FA dijaringkan oleh Shahrul Aizad Zulkifli (m-27) dan Ljubo Baranin (m-46, 61) manakala jaringan tunggal ATM oleh pemain veteran, Venice Elphi. – OLEH MUHAMMAD AIMAN