Oleh Muhammad Aiman
Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGAM) yakin kontijen negara akan mempunyai empat pemain dari sukan golf di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung pada Ogos depan.
Pengurus pasukan golf negara ke Rio, Vincent Brian Wong berkata setidak-tidaknya tiga pemain boleh dikatakan sebagai sudah sebelah kaki mengesahkan tempat mereka di Rio.
Justeru, Vincent mahu pemain negara memanfaatkan peluang yang ada untuk menyambar kesemua empat kuota yang dibenarkan menjelang tarikh akhir penyertaan pada 11 Julai.
“Kita masih ada satu lagi kejohanan kelayakan untuk lelaki, dan dua untuk wanita. Kedudukan Danny Chia hampir pasti sudah tidak akan tergugat manakala Gavin Kyle Green pula baru sahaja melonjak dari kedudukan ke-59 ke kedudukan 57.
“Jika dia boleh menunjukkan prestasi yang baik di Yeangder Players Tournament pada hujung minggu ini di Myanmar, dia akan layak,” kata Vincent.
Tambah Vincent, “Bagi wanita, Kelly Tan (ranking 39) sudah berada di kedudukan selesa untuk ke Olimpik, dan kita menjangkakan seorang lagi pemain Michelle Koh di kedudukan 55 ranking Olimpik untuk turut mengesahkan tempat.”
Untuk rekod, hanya pemain di kedudukan 60 teratas ranking Olimpik sebelum tarikh akhir kelayakan akan beraksi di Rio yang kembali mempertandingkan sukan golf selepas 112 tahun.
Mengenai harapan yang diletakkan, Vincent berkata, “Kita bukannya pergi ke Olimpik semata-mata untuk mendapat pengalaman dan pendedahan. Golf adalah sukan berasaskan skill dan penyesuaian diri kepada persekitaran. Angin adalah penentu utama, jadi kita tidak menolak untuk mengatakan andai ada prospek pingat dari sukan ini.”
Vincent ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajan Kasut oleh Bata Malaysia dan barangan sukan lain oleh dua lagi penaja – Entogenex Industries Sdn Bhd dan Pax Flora Sdn Bhd kepada kontijen negara yang akan beraksi di Olimpik, di Majlis Olimpik Malaysia pada Khamis.
Pemberian barangan-barangan ini antara lain bertujuan untuk menghalang dan melindungi atlet dari gigitan nyamuk susulan kebimbangan terhadap virus zika dan demam kuning yang menular di Brazil.