Oleh Muhammad Aiman
Seperti dijangka, bekas jurulatih Johor Darul Takzim, Mario Gomez diumumkan sebagai pengendali baru skuad bolasepak kebangsaan, menggantikan Dato’ Ong Kim Swee.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini pada sidang media selepas berakhir Kongres Pemilihan FAM ke-53.
Menurut Tunku Mahkota Johor itu, Gomez pernah berkhidmat bersamanya selama dua musim dan dilihat sebagai jurulatih paling berkredibiliti bagi mengalas tanggungjawab itu.
Bagaimanapun, khidmat Kim Swee tetap ditagih FAM di mana beliau kini dipertanggungjawab untuk kembali mengemudi skuad B-22 negara.
Ini bermakna Kim Swee akan mengambil alih tugas Frank Bernhardt yang ketika ini sedang mempersiapkan sebuah skuad mantap bagi membawa cabaran di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Untuk rekod, Kim Swee pernah membimbing skuad B-22 negara di tiga kejohanan Sukan Sea sebelum ini iaitu Indonesia 2011, Myanmar 2013 dan Singapura 2015.
Mengenai masa depan Bernhardt sama ada diberi peranan lain atau ditamatkan kontrak, Tunku Ismail berkata ianya akan diputuskan menerusi perbincangan bersama sebaik Bernhardt pulang dari Kejohanan Piala Dubai di Emiriah Arab Bersatu nanti.