gomez.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Sama ada mahu mendabik dada, atau sekadar melancarkan perang psikologi, pengendali Johor Darul Takzim, Mario Gomez berpendapat pasukannya akan terus unggul di tangga teratas dan tidak yakin satu-satunya pencabar terdekat, Felda United boleh memintas kedudukan mereka meskipun masih berbaki tujuh lagi perlawanan untuk ditamatkan.

Justeru, Gomez menegaskan dia langsung tidak bimbang dengan cabaran dari The Fighters yang sedang mengekori dengan beza hanya dua mata sebaliknya melihat skuad bimbingan Irfan Bakti itu berada dalam situasi lebih tertekan untuk menghambat kedudukan JDT dalam pertarungan dua penjuru memburu gelaran Liga Super.

“Kenapa perlu saya fokus pada Felda, kami masih lagi berada di kedudukan teratas liga dengan selesa, langsung tiada tekanan dan kami akan terus kekalkan rentak kemenangan. Apa jua keputusan yang Felda catatkan, itu adalah hal mereka.

“Kami tidak langsung ambil tahu dan tidak terjejas, kecualilah kami alami deretan keputusan buruk dalam beberapa perlawanan akan datang, tetapi saya tidak rasa itu akan berlaku,” ujar Gomez yang membawa JDT menjuarai Piala FA pada Mei lalu.

JDT yang sedang dalam misi mencatat sejarah muncul pasukan pertama merangkul trofi Liga Super tiga musim berturut-turut, mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas liga pada Selasa lalu setelah menundukkan Kelantan 1-0 hasil jaringan tunggal Jorge Pereyra Diaz.

Kemenangan itu membolehkan mereka meraih 39 mata selepas 15 perlawanan, manakala Felda United yang menewaskan pasukan tangga ketiga, Selangor mengumpul 37 mata.

Jika JDT dan Felda mengekalkan momentum sama sehingga akhir musim, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan ke-19 pada 24 Ogos depan dijangka akan menjadi penentu siapakah yang akan bergelar juara untuk musim ini. 

Baki enam perlawanan lain yang akan diharungi Harimau Selatan adalah menentang Pulau Pinang (3 Ogos), Perak (6 Ogos), PDRM (16 Ogos), Terengganu (9 September), T-Team (24 September) dan Selangor (22 Oktober).   

Manakala Felda pula akan berdepan Kelantan (3 Ogos), Terengganu (6 Ogos), Pahang (16 Ogos), T-Team (10 September), Sarawak (24 September) dan Kedah (22 Oktober).

- Advertisement -