Bekas pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri percaya gol pertahanan import Pahang, Herold Mark Goulon dalam aksi separuh ahir pertama Shopee Piala FA 2019 menentang Perak mampu mengikuti jejak langkahnya untuk tercalon dalam anugerah berprestij itu.
Jelas bekas pemain Pulau Pinang itu, gol sensasi Goulon itu jelas berkualiti tinggi dan tidak mustahil boleh meraih kemenangan sepertinya kerana teknik sepakan yang dilakukan menerusi jarak lebih kurang 55 meter sukar dilakukan buat mana-mana pemain.
Malah, Faiz sendiri mengakui jarak yang dilakukan Goulon lebih jauh berbanding jaringannya pada tiga tahun lalu dalam aksi Liga Super berdepan Pahang.
Faiz cukup teruja dengan gol berkenaan dan berharap ia sekali lagi mampu cetus kejutan dalam anugerah tersebut selepas dirinya berjaya meletakkan nama Malaysia di mata dunia.
“Memang saya rasa gol itu cukup menarik sebab jarak yang dilakukan oleh Goulon juga lebih jauh kalau nak dibandingkan dengan gol yang pernah saya jaringkan tiga tahun lepas.
“Kita dapat lihat dia begitu fokus dalam menyempurnakan sepakan percuma itu untuk menghasilkan gol yang mengejutkan semua penonton ketika itu dan saya sendiri terpegun.
“Memang kalau boleh nak tengok dia tercalon dalam anugerah itu (Anugerah Puskas FIFA) dan saya rasa peluang untuk dia menang tetap ada jika dia dicalonkan,” katanya.
Paling utama, Faiz percaya gol Goulon yang berjaya menarik perhatian bukan sahaja media tempatan, malah antarabangsa mampu menjadikan Liga Malaysia menjadi sebutan di mata dunia.
Tidak kira sama ada pemain tempatan atau import, apa yang penting aura Liga Malaysia akan terus menjadi perhatian menerusi gol-gol menarik yang mampu dilakukan oleh mana-mana pemain dalam saingan ini.
“Berita-berita seperti itu bagi saya memang bagus untuk naikkan lagi nama Liga Malaysia kerana kita perlu sedar bukan mudah untuk menjadi sebutan di peringkat antarabangsa.
“Apabila banyak media antarabangsa mula mengikuti cerita di sebalik gol cantik yang dihasilkan itu, sudah pastilah ia akan memberi impak positif kepada liga bola sepak kita.
“Harapnya lebih ramai lagi pemain akan terus berusaha untuk mencipta detik-detik menarik seperti itu dalam kancah Liga Malaysia agar lebih ramai orang tidak kira dalam atau luar negara berbangga dengan apa yang telah kita berikan”, katanya.
Faiz sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain bola sepak Asia pertama yang merangkul anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland menerusi jaringan sensasinya yang berjaya mendapat undian keseluruhan sebanyak 59.46 peratus.