Badan induk sukan permotoran, FIM dan pemegang taruh, IRTA, serta Dorna Sport mengumumkan dua lagi perlumbaan MotoGP iaitu GP British dan GP Australia terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid 19.
GP British yang akan berlangsung di litar Silverstone dijadualkan pada 28 dan 30 Ogos manakala GP Australia dipinda ke tarikh 23 dan 25 Oktober di litar GP Kepulauan Phillips.
Pembatalan ini menyaksikan Litar Silverstone sepi tanpa saingan MotoGP buat pertama kali dalam tempoh lebih 70 tahun.
Pengarah Urusan Silverstone, Stuart Pringle nyata kecewa dengan perkhabaran pembatalan GP British namun pihaknya akur untuk menerima keputusan tersebut berikutan keadaan semasa yang tidak mengizinkan.
Pengurusan litar Silverstone akan memberi tumpuan terhadap persiapan bagi musim 2021 untuk memastikan usaha keras kesemua pihak yang terlibat tidak sia sia.
Ulasan yang sama turut disuarakan Pengerusi Korporat GP Australia, Paul Little AO yang menanti kehadiran jaguh dunia untuk beraksi di litar di kepulauan Phillip.
Peminat sukan permotoran yang telah membeli tiket untuk menyaksikan perlumbaan musim 2020 diberi pilihan samada untuk mengekalkan tiket dan dibawa ke musim 2021 atau pemulangan semula wang.