SUKAN SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017 – KL2017) menerima tajaan terbaru apabila Grab menyertai pasukan penaja dengan termeterainya kerjasama bersama Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017 di dalam majlis yang berlangsung pada 23 Mei 2017 di Petaling Jaya.
Perjanjian kerjasama tersebut ditandangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong, manakala Grab diwakili oleh Ketua Negara Grab Malaysia, Encik Sean Goh.
Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab, Encik Anthony Tan telah berkongsi menaiki kenderaan Grab untuk ke tempat majlis berlangsung. Tutut hadir di acara pagi ini ialah Naib Presiden Perundangan dan Hal Ehwal Awam Grab Malaysia, Encik Zafrul S Hashim dan Ketua Bahagian Pemasaran, Cik Iris Chang.
KL2017 menyambut kehadiran Grab sebagai Penaja Emas, dengan anggaran penajaan lebih RM6 juta yang merangkumi wang tunai, barangan dan perhidmatan serta sokongan promosi melalui platform digital dan saluran dalaman syarikat tersebut seperti saluran sosial media dan Mel Langsung Elektronik (EDM).
Syarikat tersebut akan turut membawa gelaran “Official Ride-Hailing Partner” bagi temasya sukan ini.
Sebagai penaja, Grab juga akan menyediakan beberapa inisiatif untuk memberikan pengalaman perjalanan yang terbaik sepanjang KL2017. Eksklusif bagi pelanggan Grab, warga emas dan penonton dengan pergerakan yang terhad, Grab akan menyediakan Perkhidmatan Buggy Grab daripada tempat pemeriksaan keselamatan ke pintu masuk stadium.
Selain dari itu, Grab juga akan membantu pemasaran KL2017 terutamanya di kawasan lapangan terbang dengan membantu meningkatkan promosi sukan ini di KLIA, KLIA 2 dan Subang Skypark Terminal (SST). Pelancong KL2017 dari negara ASEAN yang tiba di lapangan terbang juga dapat menikmati tawaran istimewa menggunakan kod promosi Grab. Tambahan lagi, syarikat tersebut juga akan menyediakan aplikasi Virtual KL2017 Point of Interest (tempat menarik KL2017) di setiap lokasi temasya yang akan membantu melancarkan perjalanan orang ramai.
Penampilan Grab sebagai penaja bakal menjadikannya sebagai pilihan utama orang ramai untuk bergerak sewaktu temasya KL2017 berlangsung, terutamanya untuk ke lokasi pertandingan. Hal ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan di kawasan temasya di samping menyediakan alternatif yang lebih selesa dan menjimatkan buat peminat sukan.
YB Brig. Jen. Khairy ketika mengulas mengenai penajaan terbaru ini menzahirkan penghargaannya dengan berkata, “Saya berbangga dengan Grab yang mengambil langkah berani untuk tampil sebagai penaja KL2017 dan merebut peluang mengukuhkan lagi jenama mereka di Asia Tenggara.”
“Walaupun Grab merupakan sebuah syarikat yang baru sahaja beroperasi sejak lima tahun lalu, namun hari ini ia telah menjadi antara “aplikasi wajib” yang perlu ada di dalam telefon pintar kita,” tambah beliau lagi.
Penajaan ini menandakan kolaborasi pertama di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan syarikat platform permintaan pengangkutan terkemuka (ride-hailing platform) tersebut. Kerjasama bagi KL2017 ini juga adalah sejajar dengan fokus Grab yang mensasarkan pasaran di Asia Tenggara. Syarikat tersebut telah beroperasi secara meluas di negara peserta KL2017 yang lain seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam dan Myanmar. Kehadiran Grab yang meluas di rantau ini juga secara tidak langsung dapat membantu menyebarluaskan promosi KL2017 di negara-negara lain.
Berbaki kurang 100 hari lagi, MASOC bertungkus lumus memastikan semua persiapan di peringkat akhir berjalan dengan lancar. KL2017 akan diadakan pada 19 hingga 30 Ogos 2017 untuk temasya Sukan SEA ke-29 dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN ke-9.