ANDREA Guardini dari pasukan Astana, mempunyai sebab untuk berasa cukup gembira hari ini ketika Le Tour de Langkawi 2015 melabuhkan saingan dengan Peringkat 8 dan terakhir di lokasi ikonik Dataran Merdeka.
Selain memenangi peringkat terakhir itu, keempat pada edisi 2015 ini dan ke-18 dalam sejarah LTdL, ia mengulangi aksi profesional pertamanya ketika tampil bersama pasukan Farnese-Vini empat tahun lalu.
Ketika itu, pelumba kelahiran Itali yang kurang dikenali itu, memenangi peringkat pembukaan di Langkawi, sebelum menutup tirai saingan dengan satu lagi kemenangan di Dataran Merdeka. Dengan kemenangan kali keempat pada edisi kali ini, dia kini memegang rekod cemerlang 18 kemenangan peringkat di LTdL.
Kemampuan sebenar Guardini turut terserlah apabila dengan hanya dua pelumba selepas tiga yang lain gagal meneruskan saingan, dia masih mampu membuktikan kehebatan pecutan sejauh 200 meter, mengekang asakan pelumba Orica GreenEdge, Caleb Ewan dan pemenang tempat ketiga Tinkoff-Saxo, Michael Kolar, dengan melengkapkan kayuhan dari Kuala Kubu Bharu sejauh 96km itu dengan masa 2 jam 00.27 saat.
Peringkat terakhir itu turut menobatkan pemenang Peringkat 7 semalam, Youcef Reguigui (MTN-Qhubeka) sebagai pemenang jersi kuning selaku pelumba terbaik individu keseluruhan bagi LTdL 2015.
Pelumba kelahiran Algeria itu memilih untuk tidak mahu mengambil risiko dan menamatkan kayuhan di tempat ke-10, sekaligus mencatat masa terkumpul 28 jam 12 minit 04 saat bagi lapan peringkat itu, 9 saat di depan pelumba Astana, Valerio Agnoli dan 10 saat di depan pelumba Sky, Sebastian Henao.
Jersi merah Raja Bukit juga tidak berubah apabila pelumba UnitedHealthCare, Kiel Reijnen terus mengekalkan kelebihan mata selesanya ketika hanya ada satu zon pendakian mudah di Selayang pada peringkat terakhir itu, manakala jersi putih Pelumba Terbaik Asia kekal di tangan pelumba Aisan Racing, Tomohiro Hayakawa.
Dalam senarai berpasukan keseluruhan dan Asia, keputusan mengejut dicatatkan apabila pasukan profesional benua Indonesia Pegagus, yang dibimbing bekas pelumba kebangsaannya, Wawan Setyobudi mengekalkan kelebihan 5 minit 8 saat di depan Colombia.
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penaung LTdL 2015, Tun Mahathir Mohamad untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang di Dataran Merdeka, melengkapkan pengakhiran manis LTdL 2015 yang diambil alih syarikat swasta, Human Voyage Sdn Bhd, tahun ini.
Dalam peringkat pendek dan dianggap landai itu, empat pelumba – Jonathan Clarke (UnitedHealthCare); Rafa Chtioui (Skydive Dubai); Leonardo Duque (Colombia) dan Bruno Pires (Tinkoff-Saxo) – menjarakkan diri sehingga empat minit sebelum ditangkap peloton pada baki 1km terakhir.
Guardini berkata, ketika itu Aglori menjerit kepadanya untuk pergi ke bahagian depan dan dia menggunakan kelebihannya memecut dari jauh dengan memilih ruang tengah untuk selesa melintasi garisan penamat.
“Sebenarnya sukar tetapi ini satu perlumbaan yang menarik bagi pasukan kami kerana selain saya mahu menang, saya juga mahu membantu Aglori yang berada di tangga kedua keseluruhan.
“Saya tahu apa yang hendak dijangkakan bagi peringkat terakhir ini. Ini kemenangan peringkat yang istimewa dan saya harap akan memulakan tahun yang bagus bagi karier saya,” kata Guardini yang menang satu peringkat di Tour of Qatar, sebelum datang ke LTdL.
Ditanya sama ada akan kembali tahun depan, Guardini yang akan tamat kontrak bersama Astana penghujung tahun ini, berharap dapat kembali berlumba kerana gemarkan LTdL, negara ini dan rakyatnya.
Sementara itu, pemenang jersi kuning Reguigui yang mengejutkan ramai pihak pada peringkat ke Bukit Fraser semalam, gembira dengan kemenangan terbesar dalam karier profesionalnya, walaupun bergelut untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia pada awal saingan.
“Tahniah kepada semua rakan sepasukan, saya gembira dengan jersi kuning ini walaupun (Natnael) Berhane yang sepatutnya mencabar jersi individu keseluruhan ini.
“Pada peringkat terakhir ini, kami mengawal rentak kayuhan di peringkat awal sebelum menyerahkan pasukan Astana dan Orica pada baki 2 pusingan terakhir untuk menangkap kumpulan pemecah. Saya juga mahu bersaing dalam pecutan ke garisan penamat tetapi akhirnya tidak mahu mengambil risiko,” katanya.
Satu lagi nama yang pasti akan dikaitkan dengan LTdL 2015 ialah kemunculan pakar pecut muda berdarah kacukan Australia-Korea, Ewan yang memenangi dua peringkat dalam penyertaan kali pertamanya bersama Orica.
Turun dengan sasaran satu kemenangan peringkat, Ewan dinobatkan Raja Pecut bagi LTdL 2015 dengan jumlah mata terkumpul 89 mata, 18 mata di depan Guardini, sambil mengakui, banyak belajar berkayuh dalam peloton profesional.
“Semakin hari prestasi saya juga semakin baik setiap hari dan gandingan dengan rakan sepasukan yang menjadi pembantu untuk menarik saya ke depan juga semakin lancar. Saya gembira menunaikan misi saya di sini” katanya yang menyarung jersi kuning di akhir Peringkat 3 di Tanah Merah sebelum terlepas di Peringkat 7, semalam.