Pelumba Bardiani-CSF, Andrea Guardini memenangi Peringkat 8 dan terakhir Le Tour de Langkawi 2018, sekaligus mengukuhkan rekod kemenangan peringkat kepada 24 serta mengesahkan gelaran Raja Pecut.

Dalam kayuhan sejauh 141km dari Rembau dan berakhir dengan lima pusingan loop di sekitar ibu kota itu, Guardini memungut 15 mata terakhir untuk memintas penyarung jersi hijau sebelum ini, Riccardo Minali (Astana) dengan hanya tiga mata.

Jersi kuning keseluruhan juga terus kekal menjadi milik pelumba Russia yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin yang bijak menempatkan dirinya dalam kelompok besar pelumba, dan berada 27 saat di depan pencabar terdekat dari CCC Sprandi-Polkowice, Lukasz Owsian.

Begitupun, Ovechkin yang memegang jersi polka dot merah sejak kemenangan peringkatnya di Cameron Highlands pada Peringkat 5, terpaksa akur kepada kehebatan pelumba Forca Amskins, Alvaro Raul Duarte yang bijak mengutip mata pada dua zon pendakian di Menara Tinjau dan Sungai Tekali untuk muncul pemenang gelaran Raja Bukit dengan 43 mata.

Pelumba Astana Pro Team, Yevgeniy Gidich pula mengesahkan statusnya apabila memenangi jersi putih Pelumba Terbaik Asia manakala Pelumba Terbaik Malaysia pada edisi ke-23 LTdL 2018 ini menjadi milik pelumba muda Team Sapura Cycling, Muhammad Zawawi Azman.

Dalam saingan berpasukan pula, Wilier Triestina yang mengumpul catatan masa keseluruhan dengan 96 jam 23 minit 38 saat, muncul pasukan terunggul untuk mengatasi Astana dengan kelebihan 14 saat dan Dimension Data (33 saat).

Dalam perlumbaan yang dilepaskan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Rembau itu, sekali lagi peloton menyaksikan beberapa kumpulan kecil pelumba meloloskan diri tetapi pasukan TSG, Rally, Androni, Bardiani dan Astana bergilir-gilir mengejar dan menangkap kumpulan kecil di depan.

Malah cubaan dua pelumba, Scott Sunderland (Bennelong) dan Simone Velasco (Wilier) berada di depan sehingga memasuki loop terakhir juga dapat ditangkap sebelum Guardini mengesahkan gelaran Raja Pecut kali keempat dalam LTdL selepas 2011, 2012 dan 2016 serta kemenangan buat kali kelima di Dataran Merdeka.

“Saya suka penamat di Kuala Lumpur kerana saya gemar perlumbaan berbentuk sirkit. Lagipun, saya mengkaji laluan ke garisan penamat pada loop awal dan ketika menghampiri penamat, saya mencari ruang yang tepat di depan.

“Pada baki 100 meter saya terus memecut dan selesa berada di depan beberapa pencabar lain menjelang ke garisan penamat,” kata Guardini yang turut menghadiahkan kemenangan kali kelapan buat Bardiani di Dataran Merdeka dan ke-37 dalam sejarah penyertaan dalam LTdL.

Kehadiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di pentas kenamaan turut menyemarakkan sokongan terhadap penyokong TSG yang melihat Ovechkin akhirnya dinobat juara klasifikasi individu keseluruhan dalam LTdL.

Pelumba Russia yang disenaraikan pada saat-saat akhir itu nyata tidak mengecewakan apabila terus bijak mengekang pencabar terdekatnya sejak Peringkat 5 hingga peringkat terakhir hari ini.

“Memang saya gembira tetapi jersi ini juga adalah milik rakan sepasukan yang terpaksa bekerja keras setiap hari untuk melindungi dan membantu menarik saya ke depan serta menangkap kelompok pelumba yang membuat pemecahan.

“Namun fokus saya hari ini hanyalah jersi kuning, sebab itulah saya terpaksa berkorban melepaskan jersi polka dot dan memastikan berada bersama-sama pencabar terdekat,” kata Ovechkin.

Sementara itu, Duarte yang sebelum ini ketinggalan dua mata di belakang Ovechkin dalam senarai Raja Bukit, memungut satu mata di Sungai Tekali dan 4 mata di Menara Tinjau Ampang, untuk mengumpul 43 mata, 3 mata mengatasi Ovechkin.

“Terima kasih kepada Forca yang memberi peluang kepada saya berkayuh di LTdL walaupun ini adalah perlumbaan pertama kali saya di luar Colombia,” kata pelumba kelahiran Bogota itu.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

RESULTS

STAGE

  1.  Andrea Guardini – BARDIANI CSF – 3:10:25
  2.  Manuel Belletti – ANDRONI GIOCATOLLI – same
  3. Luca Pacioni – WILLIER TRIESTINA – same

 

OVERALL

  1. Artem Ovechkin – TSG – 32:06:45
  2. Lukasz Owsian – CCC Sprandi – 32:07:12
  3. Benjamin Dyball – ST GEORGE CONTINENTAL – 32:07:17

 

BEST SPRINTERS’ (GREEN JERSEY) 

  1. Andrea Guardini –BARDINI – 61 points 
  2. Riccardo Minali – ASTANA – 58 points
  3. Luca Pacioni – WILLIER TRISTINA – 44 points

 

BEST CLIMBERS’ (RED POLKA DOT JERSEY) 

  1. Alvaro Sandoval – Forca Amskins – 43 points  
  2. Artem Ovechkin – TSG – 40 points
  3. Bernardo Arango – Manzana Postobon – 38 points

 

BEST ASIAN (WHITE JERSEY) 

  1. Yevgeniy Gidich – ASTANA  
  2. Daniil FominYKH – ASTANA 
  3. Marcelo Felipe – SEVEN ELEVEN

                                               

BEST TEAM 

  1. Willier Triestina  
  2. Astana 
  3. Dimension Data
- Advertisement -