Jurulatih Selangor, K.Gunalan berdepan dilema memilih barisan terbaik untuk dipertaruhkan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kedah, di Stadium Shah Alam malam esok tatkala pasukannya membawa misi getir mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Bukan kerana pilihannya terhad atau dibelenggu masalah ketiadaan pemain, sebaliknya Gunalan menegaskan dia mempunyai skuad penuh yang bebas kecederaan ataupun penggantungan justeru berpendapat untuk memilih 18 pemain terakhir, sebelum memuktamadkan kesebelasan utama adalah cabaran besar buatnya.
“Saya gembira dan berpuas hati dengan persiapan pasukan. Moral dan keyakinan pemain berada pada tahap tinggi. Saya boleh katakan Selangor mempunyai barisan terbaik tepat pada waktunya, kita bebas kecederaan dan penggantungan jadi ini sedikit membuatkan saya pening siapa 18 pemain yang mahu disenaraikan.
“Tetapi memang saya sudah ada bayangan kesebelasan utama untuk diturunkan, kita sudah menguji persefahaman serta kombinasi ketika latihan, jadi saya harap mereka boleh terjemahkan di atas padang nanti,” ujar Gunalan yang menggantikan Zainal Abidin Hassan pada Julai.
Sepertimana ketika menyingkirkan PKNS Selangor di suku akhir dan kemudiannya T-Team di separuh akhir, Gunalan dijangka menyandarkan harapan kepada dua pemain sayap, Andik Vermanshah dan R.Gopinathan untuk mengucar-kacirkan pertahanan Kedah, sambil mengharapkan penjaring dua gol di final tahun lalu Ahmad Hazwan Bakri tajam di depan pintu gol.
Menurut Gunalan, adalah silap jika menganggap kelebihan milik Selangor hanya kerana turun sebagai juara bertahan serta beraksi di gelanggang sendiri kerana Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe sudah tentunya tampil dengan kekuatan tersendiri bagi mengelakkan duka musim lalu berulang.
“Keyakinan diri adalah penting tetapi jangan terlalu yakin kerana ia akan menghukum kita. Saya mahu pemain bermain seperti biasa, permainan bolasepak pantas, menyerang dan berdisiplin ketika bertahan. Jangan memberi tekanan kepada diri, peluang kita tetap ad ajika kita bermain mengikut perancangan,” ujar Gunalan.
Aksi menentang Kedah pada Ahad akan menjadi penampilan ke-49 buat Selangor di pentas final, di mana mereka muncul juara sebanyak 33 kali, terbaru tahun lalu dengan menewaskan Kedah 2-0.
Manakala bagi Kedah, ini adalah penampilan ke-12 mereka di final, kali terakhir muncul juara pada 2008 dengan menewaskan Selangor 3-2 – begitulah uniknya tradisi pertembungan antara kedua-dua pasukan ini.