Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempertimbang cadangan untuk memberi ganjaran oleh kerajaan kepada atlet negara yang berjaya menyumbang pingat di Temasya Sukan Deaflympics ke 23 yang akan berlangsung di Samsun, Turki bermula 18 hingga 30 Julai depan.
Katanya, perkara tersebut akan dibawa ke perbincangan dengan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menetapkan jumlah insentif yang akan diberikan.
“Kita amat memberi penghargaan kepada atlet-atlet ini, bukan hanya sebagai kerajaan prihatin tetapi ia adalah komitmen kita sebagai menghargai kejayaan tersebut,” kata Zahid.
Terdahulu berlangsung majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen Malaysia, Kamarzaman Harun di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.
Temasya kali ini mempertaruhkan 21 acara melibatkan 109 negara dan 4,500 peserta dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, Kamarzaman yang juga presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia, menjelaskan dua pingat emas disasarkan menerusi sukan badminton.
Malaysia menghantar seramai 30 orang atlet ke Sukan Deaflympics kali ke 23 dan akan mengambil bahagian dalam tiga jenis sukan badminton, olahraga dan boling.
“Ini merupakan kali kelima kontinjen negara menyertai temasya ini dan kita yakin sasaran pingat kali ini boleh dicapai dengan doa dan sokongan daripada rakyat Malaysia,” kata Kamarzaman.
Untuk rekod, pencapaian terbaik sebelum ini ketika tahun 2001 dimana ia merupakan penyertaan kali ke ketiga Malaysia dimana Itali menjadi tuan rumah.
Malaysia meraih emas menerusi olahraga, acara 110 meter lari berpagar lelaki. – OLEH KU MOHD LUFTI