Bekas pemain sayap Penang FC, Muhammad Hadin Azman mengakui masih belum puas untuk beraksi dan kini mengintai peluang untuk mencipta nama bersama pasukan baharunya, Negeri Sembilan FC.
Menurutnya, antara sebab utama dia berhjirah ke Negeri Sembilan adalah kerana mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan selain tertarik dengan falsafah kelab ini.
Bagi Hadin, lima gol dan tiga bantuan gol pada musim lalu jelas tidak cukup dan berazam untuk memberikan yang lebih baik bersama skuad Jang kali ini.
“Sudah semestinya saya tidak berpuas hati dengan apa yang saya lakukan pada musim lalu,”
“Pada musim baharu, saya akan cuba dapatkan lebih minit permainan dan jaringan untuk Negeri Sembilan dan diri saya sendiri,” jelasnya.
Hadin juga mengakui, dengan kehadiran Mohamad Ikhwan Yazek dari Kelantan FC dan Hein Thet Aung yang dipinjamkan dari Selangor FC, akan menyumbang kualiti yang lebih baik untuk pasukan.
“Setiap pemain mempunyai kualiti, dan kami akan cuba untuk meningkatkan kesefahaman antara kami,” tambahnya.
Pemain yang berasal dari Kuala Lumpur ini juga tidak menolak masih memasang cita-cita untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
Hadin yang sedang giat melaksanakan persiapan bersama pasukan juga menegaskan, persefahaman antara pemain sedang dibentuk dan akan diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain import yang akan menyarung jersi Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Walaubagaimanapun, Hadin juga menyeru kepada semua penyokong Negeri Sembilan untuk terus memberikan sokongan kepada kelab sebagai motivasi kepada pemain untuk menghadapi perlawanan yang akan mendatang.