Oleh Muhammad Aiman
Atlet angkat berat, Mohd Hafifi Mansor masih terlalu jauh dari menyaingi badang-badang terhebat dunia namun dia tetap boleh tersenyum dalam penampilan sulungnya di pentas olimpik, apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 69 kilogram (kg) awal pagi tadi.
Atlet kelahiran Terengganu itu melakukan angkatan keseluruhan berjumlah 316kg, sekaligus meleburkan rekod miliknya sendiri 313kg yang dilakukannya ketika beraksi di Kejohanan Dunia Perancis pada 2011.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu mengangkat bebanan sejumlah 140kg dalam acara snatch dan 176kg untuk clean & jerk, yang sekaligus menyaksikannya menamatkan saingan di tempat ke-13 dari 21 peserta.
Pingat emas bagi acara itu dimenangi badang China, Shi Zhiyong yang mengangkat bebanan seberat 352kg, pingat perak menjadi milik Daniyar Ismailov dari Turki (351kg) manakala Irzat Artykov meraih gangsa (339kg).