Bekas juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim bakal menjadi seorang lagi bekas pemain kebangsaan yang direkrut menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebagai jurulatih perseorangan wanita.
Hafiz telah bertemu dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen bagi membincangkan mengenai perkara itu pada Selasa namun menegaskan segalanya masih di peringkat awal dan dia memerlukan masa untuk beralih ke bidang kejurulatihan.
“Ini baru pertemuan pertama antara saya dan Morten, tiada apa yang diputuskan lagi. Lagipun saya masih ada kontrak sebagai pemain dengan penaja saya, Apacs. Saya perlu memaklumkan kepada mereka dengan cara baik niat saya ini untuk menjadi jurulatih.
“Saya juga mempunyai komitmen dengan sebuah kelab di China sehingga September, jadi ini antara perkara-perkara yang perlu saya selesaikan. Namun saya sudah bersedia untuk bergelar jurulatih, sudah tiba masanya saya menggantung raket untuk beralih kepada sesuatu yang lebih baik. Sebab itulah saya tawarkan khidmat saya kepada BAM,” kata Hafiz.
Tambahnya, “Walaupun tiada sebarang kepastian namun saya boleh katakan pertemuan dengan Morten menampakkan tanda-tanda positif. Akan ada pertemuan kedua dan saya harap ia akan memberi gambaran lebih jelas dan beberapa perkara dapat dimuktamadkan.”
Pemain berusia 34 tahun kelahiran Kota Bharu itu sebelum ini menubuhkan Kelab Badminton Jaguh Tangkis (KBJT) pada 2013 dan mengembangkan karier professionalnya dengan bermain untuk Kelab Badminton Petaling Jaya dalam saingan Purple League sejak 2015.
Mengenai tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan wanita seandainya diberi peluang, Hafiz berkata, “Ia satu cabaran besar kerana dari pemerhatian saya, masih banyak yang pemain kita kekurangan. Mereka perlu bekerja keras untuk tingkatkan tahap permainan dan mendapatkan keputusan dalam pertandingan. Mungkin program yang lebih sistematik akan membantu.”Â
BAM pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan minggu lalu, merombak struktur kejurulatihan dengan membawa masuk beberapa bekas pemain termasuk Datuk Misbun Sidek (perseorangan lelaki) dan Cheah Soon Kit (beregu lelaki) manakala Tey Seu Bock diberi peranan sebagai jurulatih perseorangan wanita, dibantu oleh Rony Augustinus. – OLEH MUHAMMAD AIMAN