HAFIZ NOR

Selepas meraih gelaran naib juara pada pusingan lepas, Hafiz Nor Azman terus berada dalam prestasi terbaik apabila berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu mencatat masa terpantas 46.227s pada pusingan kelima yang juga merupakan catatan rekod litar manakala Ahmad Afif Amran (PETRONAS Yamaha-CKJ) yang tidak beraksi pada perlumbaan lepas di Serdang muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan masa 46.485s.

Sementara itu, Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 46.528s.

“Saya gembira dengan keputusan hari ini. Aksi seperti ini amat penting bagi kami setelah mempamerkan prestasi tidak menentu sejak pertengahan musim,” jelas Hafiz tentang prestasi terbaik yang dipamerkan ketika ini.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, “Ini musim pertama saya di dalam kelas CP130. Mungkin pada peringkat awal musim saya masih kekok dan kurang pengalaman berhadapan pencabar-pencabar senior. Mujurlah ketika itu abang Zamri (Mohd Zamri Baba) banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya.

“Namun dengan ketiadaan Zamri di dalam pasukan, ia amat dirasai, bukan sahaja saya, malah seluruh pasukan. Jadi selepas beberapa pusingan gagal memberi aksi terbaik, saya tekad untuk bangkit dan berusaha melakukan perubahan, bukan sahaja untuk diri saya, malah untuk menaikkan semangat rakan sepasukan lain dan sedikit sebanyak ia berhasil apabila saya berjaya meraih podium pada perlumbaan lepas.”

Bercakap tentang peluang untuk meraih podium buat kali kedua, Hafiz berkata, “Jentera saya berada pada tahap terbaik ketika ini, dan masih ada ruang untuk dipertingkatkan. Saya berharap keadaan ini akan berkekalan pada sesi Superpole esok kerana amat penting untuk saya bermula dari bahagian depan memandangkan ruang untuk memintas di sini agak terhad.”

Sementara itu, dalam kelas CP115, Kasma Daniel Kasmayudin muncul pelumba terpantas sekaligus memberi bayangan untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan pada perlumbaan minggu ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terpantas 46.688s diikuti Azroy Hakeem Anuar (Givi Honda Yuzy Racing) kedua, 46.882s dan Mohd Emir Firdaus Hasan (Espada William Racing) ketiga, 47.180s.

Dalam pada itu, ketiadaan juara keseluruhan, Mohd Harith Farhan yang beralih ke kelas CP115 minggu ini membuka ruang buat Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir (Weststar Motorsports) untuk muncul pelumba terpantas dengan mencatatkan masa terbaik 48.102s diikuti duo Espada William Racing, Mohd Khairul Ikhwan Ajis dan Amirul Hakim Mohd Rizal, masing-masing dengan catatan 48.169s dan 48.215s.

 

Keputusan Ujian Masa

CP130

  1. Mohd Hafiz Nor Azman (Honda) 46.227s 2. Ahmad Afif Amran (Yamaha) 46.485s 3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 46.528s 4. Sasitharen Sukumaran (Honda) 46.585s 5. Mohd Haiekal Akmal Zakaria (Yamaha) 46.605s

CP115

  1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 46.688s 2. Azroy Hakeem Anuar (Honda) 46.882s 3. Mohd Emir Firdaus Hasan (Yamaha) 47.180s 4. Mohd Muzakir Mohamed (Yamaha) 47.354s 5. Mohd Izzat Zaidi Salehan (Yamaha) 47.355s

Wira

  1. Mohd Qhuwarismi Mohd Nasir (Yamaha) 48.102s 2. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 48.169s 3. Amirul Hakim Mohd Rizal (Yamaha) 48.215s 4. Mohd Akid Aziz (Yamaha) 48.222s 5. Mohd Izzat Rafiq (Yamaha) 48.230s
- Advertisement -