Skuad bola baling lelaki Malaysia merupakan yang terawal untuk memulakan aksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan mereka menjadi yang terawal untuk tersingkir dari saingan.
Hajat besar pasukan negara untuk melakar kejutan dalam aksi Kumpulan A tidak kesampaian setelah tewas buat kali kedua berturut-turut, kali ini 11-55 kepada semifinalis edisi 2014, Iran dalam aksi berlangsung di GOR POPKI Cibubur pada Rabu.
Ia sekaligus menyaksikan Malaysia yang sebelum ini tewas 11-64 dalam aksi pembukaan kepada juara Asia, Qatar pada Isnin tersingkir daripada saingan dan hanya akan bermain dalam aksi penentuan tempat ke-9/13 pada Isnin depan.
Pengurus pasukan, A.Vijaya Kumar berkata, “Dari awal lagi kita sedar yang ianya akan menjadi sangat sukar apabila diundi bersama Qatar dan Iran yang berada di ranking keempat dan 31 dunia.
“Kita kekurangan daripada segi fizikal, kemahiran dan taktikal. Pemain-pemain gemuruh dan melakukan kesilapan mudah ketika membuat hantaran dan bertahan. Mental mereka juga lemah selepas ketinggalan.”
Tambah Vijaya lagi, “Kami menghantar pasukan bagi mendapat pendedahan dan melihat sejauh mana kedudukan pasukan di peringkat Asia. Persiapan untuk Sukan Asia terhad daripada segi bajet dan kebanyakan pemain masih bekerja dan belajar. Ini adalah kali pertama Malaysia bertanding dalam acara bola baling di Sukan Asia.”
Sementara itu, pasukan wanita yang membuka saingan dengan kekalahan 15-23 di tangan tuan rumah Indonesia pada Selasa akan berdepan Jepun Ahad ini disusuli Thailand (21 Ogos) dan aksi terakhir Kumpulan B menentang Hong Kong (23 Ogos). – OLEH MUHAMMAD AIMAN