Jaguh lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian membawa hajat besar bersama-samanya ke Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF) di Bhubaneshwar, India yang akan berlangsung dari 6-9 Julai ini.

Selain mahu memecahkan rekod kebangsaan 13.67s miliknya sendiri, pelari kelahiran Sabah itu turut mengintai peluang untuk melayakkan diri ke saingan akhir.

Motivasinya jelas berada pada tahap terbaik, lebih-lebih lagi setelah berjaya memadam rekod kebangsaan 13.73s berusia 23 tahun milik Nur Herman Majid ketika memenangi final B Kejohanan Olahraga Kurpfalz Gala di Jerman bulan Mei lalu.

Malah, dia juga mendapat pendedahan antarabangsa apabila dihantar menjalani latihan selama tujuh minggu di bumi Eropah yang sekaligus menjadi tonik tambahan buatnya.

“Prestasi saya sedang memuncak dengan catatan masa yang lebih baik dan konsisten kebelakangan ini. Siri latihan dan pertandingan yang agak sukar berdepan pelari-pelari dari Eropah banyak membantu saya meningkatkan tahap dan teknik larian,” kata pelari senior berusia 29 tahun itu.

Dia yang akan beraksi di Kejohanan ATF buat kali kelima sejak 2007 menjangkakan saingan sengit dari pelari-pelari terkemuka Asia namun bertekad tidak memberi laluan mudah demi mendapatkan suntikan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Catatan masa yang baik akan meningkatkan keyakinan saya apabila beraksi di KL 2017. Sasaran saya adalah meraih emas setelah gagal melakukannya dalam tiga edisi terdahulu,” ujar Rayzam yang berlatih di bawah tunjuk ajar jurulatih dari Jerman, Jan Klaus Erasmus.

Untuk rekod, Rayzam mencetus sensasi dalam penampilan Sukan SEA pertamanya di Korat 2007 apabila memenangi pingat emas acara lari berpagar 110m.

Kecederaan harmstring memaksa pelari itu melupakan temasya Vientiane 2009 namun dia kembali mengegar dengan meraih pingat perak dalam tiga temasya berturut-turut – Indonesia 2011, Myanmar 2013 dan Singapura 2015 kesemuanya di belakang jagoan Thailand yang sudahpun bersara, Jamras Rittidet.

Dalam saingan ATF, pencapaian terbaik Rayzam Shah adalah ketika dia berkesudahan di tempat ketujuh dalam saingan final dengan catatan masa 13.93s di Koboi, Jepun pada 2011.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -