Oleh Muhammad Aiman
Hajat besar ratu skuash negara, Dato’ Nicol David untuk menambah koleksi gelaran Terbuka British, tidak kesampaian setelah tunduk dalam aksi separuh akhir kepada pemain muda England, Sarah Jane Perry.
Aksi pada awal pagi Ahad itu menyaksikan Nicol yang turun sebagai pemain pilihan keenam, tewas 1-3 (8-11, 11-7, 11-13 dan 7-11) dalam masa 55 minit kepada Sarah Jane, yang merupakan pilihan ketujuh di Airco Arena, Hull, England.
Untuk rekod, Nicol hadir ke kejohanan ini dengan keyakinan tinggi selepas menoktahkan kemarau kejuaraan selama 15 bulan dengan memenangi Terbuka Ciudad de Floridablanca, Colombia dua minggu lalu.
Sebelum ini, pemain berusia 33 tahun yang berada di kedudukan nombor tujuh dunia itu pernah menjulang Terbuka British sebanyak lima kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2012 dan 2014.
Sementara itu, dalam aksi final yang akan berlangsung lewat Ahad (waktu Malaysia), Sarah Jane akan berdepan rakan senegara, Laura Massaro yang melangkah setelah mengejutkan pemain pilihan utama juga juara bertahan, Nour El Sherbini dari Mesir.
Massaro, pilihan kelima bangkit dari kekalahan dua set awal untuk menewaskan Sherbini 3-2 (5-11, 7-11, 11-5, 11-3, 11-6).