Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail gagal menyerlahkan kredibiliti sebenar di pentas final Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada Sabtu dan dia menyifatkan bahawa ianya disebabkan kesilapan diri sendiri.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77 meter itu membuat lompatan tidak mencecah angka 16m selepas tiga percubaan dan ia sudah cukup untuk membuatkannya menggigit jari tersingkir awal di peringkat final yang berlangsung di Stadium Carrara.
“Ia silap saya, saya memilih untuk terlalu berhati-hati. Pada lompatan pertama saya cuba melakukan sesuatu yang baru dan sekadar mencatat 15.77m, lompatan kedua dibatalkan dan lompatan ketiga saya berhati-hati kerana takut batal sekali lagi.
“Saya cuma berjaya melakukan 15.97m dan menyangka ia sudah cukup untuk ke kelompok lapan terakhir tetapi saya tidak sedar atlet Jamaica (Clive Pullen) sudah memperbaiki catatannya (16.16m).
“Ia mungkin menjadi hari yang lebih baik buat saya jika daripada lompatan pertama itu saya sudah all-out buat sehabis yang terdaya, memang saya kecewa sebab di final sepatutnya saya tunjukkan potensi sebenar,” kata Hakimi yang membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel.
Hakimi adalah sandaran terakhir Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun dari sukan olahraga di pentas Komanwel setelah beberapa atlet lain seperti Irfan Samsudin (lempar cakera) serta Nauraj Singh dan Lee Hup Wei (lompat tinggi) gagal dalam usaha mereka.
Pingat emas bagi acara lompat kijang dimenangi oleh atlet Guyana, Troy Dorris (16.88m), Yordanis Duranina Garcia dari Dominica memenangi pingat perak manakala Marcel Mayack dari Cameroon memenangi gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN