Atlet lompat kijang negara, Mohd Hakimi Ismail melangkah ke pusingan akhir selepas melepasi pusingan kelayakan dalam acara lompat kijang lelaki di Stadium Carrara.
Atlet berusia 27 tahun itu yang berada di dalam kumpulan B menduduki tangga ketiga, berkongsi lompatan terbaik, 16.36 meter dengan atlet Namibia, Roger Haitengi.
Manakala atlet dari India Arpinder Singh yang melakukan lompatan sejauh 16.39 meter untuk mengungguli saingan kumpulan B.
Lompatan pertama, Hakimi yang juga pembawa bendera bagi kontinjen Malaysia di SUkan Komanwel Gold Coast melakukan lompatan sejauh 16.18 meter pada percubaan pertama.
Beliau terus tenang dan konsisten apabila melakukan lompatan sejauh 16.21 meter pada percubaan kedua sebelum menutup peringkat saringan dengan lompatan sejauh 16.36 meter sekaligus layak ke pusingan akhir pada Sabtu.
Sementara itu, rentak kecemerlangan Hakimi gagal diekori seorang lagi atlet negara yang beraksi dalam acara lempar cakera.
Irfan Shamsuddin gagal dalam ketiga tiga percubaannya di pusingan kelayakan kumpulan B selepas ketiga tiga percubaannya dibatalkan.
Dua percubaan pertama atlet berusia 22 tahun itu dibatalkan selepas kakinya melepasi had kawasan, manakala percubaan ketiga, lontarannya sekadar singgah di jaring.OLEH KU MOHD LUFTI