Perebutan menduduki kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu setelah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan Negara, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk mencabar calon pilihan, Dato’ Hamidin Amin.
Hamidin, Setiausaha Agung FAM, sebelum ini dilaporkan hampir pasti menang tanpa bertanding setelah 18 ahli gabungan menamakannya sebagai calon namun dua persatuan mengambil pendekatan menunggu hingga saat akhir pencalonan yang akan ditutup pada 11 Mei.
PBNP menjelaskan Azim yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjadi pilihan kerana pengalaman luasnya dan diyakini dapat memacu FAM ke arah lebih gemilang.
Begitupun kredibiliti Azim hebat dipertikai sejak kebelakangan ini susulan prestasi hambar atlet negara di pentas antarabangsa serta kegagalan Program Podium di bawah ISN, selain tiada sebarang pencapaian membanggakan buat arena sukan negara.
Pertandingan merebut jawatan presiden mungkin juga akan menjadi persaingan tiga penjuru sekiranya Tan Sri Annuar Musa dicalonkan oleh satu lagi persatuan yang belum menghantar pencalonan.
Annuar yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan dan Timbalan Presiden FAM dikatakan berminat untuk kembali ke dalam kancah bolasepak sekiranya dicalonkan.
Kerusi nombor satu FAM kosong setelah Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat keputusan melepaskan jawatan pada 25 Mac lalu, genap setahun beliau memimpin badan induk berkenaan kerana merasa bertanggungjawab dengan kejatuhan mendadak ranking dunia skuad bolasepak negara selain mahu FAM dan Malaysia Football League ditadbir individu berbeza.
Sebaik meletak jawatan, Tunku Mahkota Johor itu menyatakan bahawa tugasnya akan dipangku Datuk Yusoff Mahadi sehingga Kongres Tahunan FAM pada Julai, dan mencadangkan Hamidin dilantik menggantikannya berdasarkan pengalaman luas selama hampir 20 tahun dalam pentadbiran bolasepak.OLEH MUHD AIMANÂ