Sejurus selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru, Dato’ Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau memegang jawatan itu bukan sebagai proksi kepada individu lain dan tidak akan sesekali mengikut arahan sesiapa di dalam membuat keputusan.
“Saya duduk di kerusi ini bukan untuk mengikut telunjuk atau arahan sesiapa. Ada yang fikir saya hanyalah boneka dan diletakkan di kerusi presiden ini untuk memenuhi kepentingan individu tertentu tetapi saya beri jaminan situasi itu tidak akan berlaku.
“Saya berada di sini atas kepercayaan yang diberikan ahli gabungan dan pemegang taruh dan sedar sekarang ini saya memikul satu tanggungjawab berat yang diamanahkan.
“Saya akan melakukan segala apa yang terbaik, membuat keputusan-keputusan untuk kepentingan FAM dan bolasepak negara, mengukuhkan hubungan baik yang telah terjalin antara FAM dan ahli gabungan dan badan-badan berkepentingan yang lain,” ujar Hamidin dalam sidang media pertamanya sebagai Presiden FAM.
Hamidin yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung FAM secara rasminya menjadi Presiden FAM yang ketujuh selepas berakhir Kongres Tahunan FAM yang ke-54. Beliau menang tanpa dicabar dan akan memegang jawatan itu bagi baki penggal 2017 – 2021.
Namanya dicadangkan oleh Tunku Ismail sejurus baginda melepaskan jawatan sebagai presiden pada bulan Mac lalu bersandarkan kepada pengalaman luasnya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan bolasepak.
Dengan menjadi Presiden FAM, Hamidin mencatat sejarah sebagai setiausaha agung pertama, dan’orang biasa’ pertama untuk menduduki kerusi nombor satu FAM itu kerana enam presiden sebelum ini, merupakan sama ada orang politik ataupun orang istana. – OLEH MUHAMMAD AIMAN