Jurulatih olahraga negara, Md Poad Kassim percaya atlet pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap akan kembali menemui prestasi yang pernah menjulang namanya kira-kira dua tahun lalu.

Badrul, pelari kelahiran Melaka pada satu ketika dianggap sebagai permata baru arena olahraga negara setelah mencuri tumpuan dengan memperbaharui rekod kebangsaan milik Watson Nyambek ketika menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei dua tahun lalu.

Begitupun rekod itu kemudiannya tidak diiktiraf dan Md Poad tidak menafikan itu antara sebab utama yang membawa kepada jatuhnya prestasi pelari berusia 19 tahun itu sekaligus menyaksikan rakan sepelatihnya Khairul Hafiz Jantan menyerlah mencipta nama sehingga akhirnya dinobatkan Raja Pecut Asia Tenggara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu.    

Menurut Md Poad, “Badrul akan kembali tetapi ianya akan mengambil masa. Apa yang penting adalah kehendaknya sendiri, dia seolah masih tercari-cari Badrul yang dulu, yang dua tahun dulu.

“Pada masa itu apa yang disuruh, apa yang dia mahu, dia akan buat dan usahakan bersungguh-sungguh sama seperti Khairul Hafiz sekarang. Dan mungkin juga pergaulan serta peribadinya turut mempengaruhi rentak lariannya. Hanya dia yang boleh ubah dirinya sendiri.”

Poad mendedahkan tidak banyak beza antara Badrul dan Khairul Hafiz sewaktu latihan dengan catatan masa mereka hanyalah dipisahkan antara 0.2 atau 0.3 saat justeru berpendapat tidak mustahil Badrul boleh kembali mengegar jika terus menunjukkan semangat dan bekerja keras selain melihat semula kepada segala usahanya ketika menempa kejayaan dua tahun lalu.

“Dia kena tengok balik, kaji balik apa yang dia lakukan pada usia 17 tahun ketika dia capai kejayaan. Apa yang dia lakukan sehingga prestasinya konsisten dan memuncak. Dia kena bandingkan untuk mendapat sesuatu yang lebih baik demi masa depannya,” kata Poad.

Badrul tidak disenaraikan dalam acara pecut ketika temasya KL 2017 bagi memberi fokus kepada acara berganti-ganti namun dia dijangka kembali beraksi dalam acara 100m dan 200m apabila berlangsungnya Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia bulan depan.OLEH MUHD AIMAN 

  

- Advertisement -