Terengganu membuat rombakan besar terhadap skuad yang akan kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim depan apabila menggugurkan sekurang-kurangnya 10 pemain termasuk tiga pemain import.
Pemain kesayangan penyokong, Issey Nakajima Farran antara yang disingkirkan sang penyu selain dua pemain dari Brazil, Lazaro Vinicius Alves dan Gabriel Davis Dos Santos tatkala hanya penyerang yang dibawa masuk ketika pertengahan musim, Tchetche Kipre dikekalkan mereka.
Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar ‘Drogba’ Terengganu itu dibawa masuk sebagai menggantikan Federico Falcone yang bergelut dengan prestasi dan tidak mengecewakan apabila muncul penjaring terbanyak pasukan itu dalam saingan Liga Perdana dengan sembilan gol.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan pemain berusia 29 tahun itu adalah antara tunjang utama yang membantu pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim untuk muncul sebagai naib juara 100Plus Liga Premier menerusi prestasi konsisten dan meyakinkan.
“Dia adalah jenis penyerang yang dimahukan semua pasukan, mempunyai fizikal bagus dan penyudah tajam. Kita telah membuat penilaian, walaupun bermain setengah musim, impaknya cukup besar jadi itu faktor dia dikekalkan.
“Untuk tiga kekosongan pemain import, kita tidak boleh terburu-buru. Kita tidak mahu buat kesilapan kerana kita perlu mencari pemain yang benar-benar berkualiti yang boleh bermain sepenuh musim, bukan setakat pertengahan musim selepas itu kena cari pula yang lain kerana tiada kualiti,” ujar Irfan.
Sementara itu, beberapa pemain tempatan turut dilepaskan antaranya Ferris Daniel Mat Nasir, Ridzuan Abdunloh, Adam Othman, Izuan Jarudin dan Ezaidy Khaddar.-OLEH MUHD AIMAN