Hanya keajaiban yang mungkin boleh selamatkan Kelantan dari tersingkir ke Liga Premier musim depan setelah pasukan bimbingan Fajr Ibrahim itu mengalami kekalahan ketujuh dalam 11 perlawanan Liga Super, kali ini di tangan Kuala Lumpur.

The Red Warriors yang turun dengan hajat besar mahu mengulangi kemenangan ke atas skuad warga kota dalam pusingan pertama sebelum ini, dimalukan dengan kekalahan besar 1-5 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kelantan mungkin merasakan kudrat pemain muda cukup untuk mereka “teruskan kehidupan” tetapi skuad warga kota menyerlahkan betapa tanpa pengalaman sukar untuk pasukan itu memberi tentangan dalam liga yang begitu kompetitif.

Jaringan Guilherme de Paula (m-4, 23), Paolo Josue (m-10), Ashri Chuchu (m-79) dan Junior Aparecido (m-87) memberikan KL bimbingan Fabio Maciel kemenangan keempat musim ini. Lebih menarik ini adalah kemenangan pertama KL ke atas Kelantan dalam tempoh 14 tahun.

Kemenangan membolehkan KL mendaki ke tangga kelapan dengan 13 mata manakala Kelantan kekal di tangga ke-11 dengan lapan mata.

Dalam pada itu, hasrat untuk menyekat Johor Darul Takzim dari merangkul gelaran kelima Liga Super berturut-turut mungkin sudah boleh dilupakan biarpun baru separuh musim berlalu setelah dua pencabar terdekat Perak dan Pahang masing-masing terus kehilangan momentum.

Perak yang berada di tangga kedua, tewas kepada Terengganu FC 0-2 di kuala Terengganu menerusi dua jaringan kapten pasukan Tchetche Kipre. Ia adalah kekalahan pertama buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic selepas tujuh perlawanan.

Minggu lalu mereka turut gagal mengutip mata penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Melaka United ā€“ Perak kekal di kedudukan kedua dengan 20 mata, lima mata di belakang JDT tatkala kemenangan buat Terengganu melonjakkan pasukan Irfan Bakti itu ke kedudukan keempat liga dengan 18 mata.

Di Stadium Darul Aman, Pahang tewas buat kali kedua berturut-turut, kali ini 0-2 di tangan Kedah menerusi jaringan sepakan percuma Baddrol Bakhtiar dan Liridon Krasniqi. Pahang kekal di tangga ketiga dengan 18 mata, manakala Kedah melonjak ke tangga kelima juga dengan 18 mata, dipisahkan menerusi beza jaringan.

JDT berpeluang melebarkan jurang mata di kedudukan teratas kepada lapan mata apabila melayan kunjungan pasukan tangga tercorot, Negeri Sembilan di Larkin pada Rabu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -