Dua ‘harimau’ mengungguli Liga Malaysia selepas enam perlawanan yang berlangsung setakat ini.
Saingan Liga Super menyaksikan Harimau Selatan atau Johor Darul Takzim (JDT) mengekalkan posisi selaku peneraju liga selepas berpesta gol menewaskan Perak 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Hatrik Gonzalo Cabrera serta satu gol masing masing menerusi Mohd Afiq Fazail, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman, Muhammad Safawi Rashid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid memastikan JDT mengumpul 16 mata selepas enam perlawanan.
Tiga pasukan mengekori rapat JDT apabila berkongsi 10 mata, dibezakan dengan jumlah jaringan.
Kekalahan Terengganu FC 0-1 kepada Melaka United menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain terlepas peluang untuk mengurang jurang mata dengan JDT dan berada di tangga kedua liga manakala Melaka United kini menghuni tangga kelima, berkongsi 9 mata dengan Selangor yang bangkit daripada ketinggalan untuk meraih 3 mata penting ke atas Sabah di Stadium Likas.
Wira The Red Giants, Ifedayo Olusegun pastinya diangkat sebagai pemain terbaik selepas meledak dua gol untuk memberikan kemenangan penting buat skuad kendalian B Sathianathan.
Kedah juga bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kpah Sherman dan Tchetche Kipre memadamkan kelebihan jaringan pelawat sekaligus memberikan 3 mata untuk Kedah yang kini menghuni tangga ketiga liga.
Paling mencuri tumpuan minggu ini adalah UiTM FC yang mengejutkan Pahang 1-0 menerusi gol tunggal perlawanan oleh Muhamad Rafie Mat Yaacob pada minit ke-63.
Kemenangan itu sekaligus meletakkan UiTM FC dikedudukan keempat Liga Super.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United pula berkongsi satu mata setelah seri 1-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pulau Pinang terajui Liga PerdanaÂ
Saingan Liga Perdana pula memperlihatkan Sang Harimau Kumbang mengungguli tangga teratas liga.
Gol pasukan tuan rumah terhasil pada separuh masa pertama enerusi pemain import dari Brazil Casagrande (min 6) dan Lee Changhoon di minit ke-22.
Kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan sedikit sebanyak melegakan Manzoor Azwira dimana Pulau Pinang kini berkongsi 14 mata dengan Kuala Lumpur.
The City Boys memberi tekanan ke atas Harimau Kumbang selepas menundukkan Kelantan United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu hasil gol oleh penyerang import, Paulo Josue.
Terengganu FC II pula akur terlepas peluang untuk merampas kedudukan teratas Liga Perdana selepas tewas kepada JDT 2 dilaman sendiri.
Pemain import dari Argentina Francisco Insa Bohigues, meledak dua gol untuk JDT II, masing-masing pada minit ke-12 dan minit ke-27, selain gol daripada Fernando Ortega pada minit ke-65.
TFC II pula meraih gol menerusi Muhammad Zuasyraf Zulkiefle seawal minit pertama, dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-54.
Sarawak United FC dan UKM FC pula berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.
Perak II pula berpesta gol selepas menang selesa 5-1 ke atas Kuching FA, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Lima gol pasukan tuan rumah hadir menerusi jaringan Khairul Asyraf Sahizah pada minit ke-15, Muhammad Nazmi Ahmad (minit ke-26), Muhammad Adib Abdul Raop (minit ke-49 dan minit ke-57), serta Sacha Petshi pada minit ke-89, manakala gol tunggal Kuching FA disumbangkan bekas pemain kebangsaan Joseph Kalang Tie, pada minit ke-54.
Satu lagi aksi Liga Premier di antara Selangor II dan Kelantan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.