Sebaik tersingkir dari saingan Piala AFC pada Selasa lalu, Johor Darul Takzim kini menumpukan sepenuhnya kepada aksi Liga Super menentang Kelantan pada Sabtu dan tekad membawa pulang tiga mata dari Kota Bharu sebagai pengubat duka.
Harimau Selatan gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir Zon ASEAN walaupun menang ke atas Song Lam Nghe An dan sebelum itu mereka sudahpun tersingkir dari Piala FA berikutan kekalahan 0-3 kepada Pahang di laman sendiri.
Dengan tiada lagi komitmen dalam pertandingan lain, Raul Longhi mahu pemainnya memberikan aksi ‘all out’ dalam saingan Liga Super di mana kemenangan ke atas Kelantan yang dihimpit pelbagai masalah dalaman akan dapat mengukuhkan cengkaman mereka di kedudukan teratas.
Begitupun, pengendali yang dilantik menggantikan Ulises Morais pada Februari itu mengakui ianya bakal menjadi misi sukar buat pasukannya mengambil kira Kelantan sedang menunjukkan peningkatan di bawah kendalian Fajr Ibrahim dan pastinya tidak mahu kecewa di gelanggang sendiri.
âKami mempunyai beberapa masalah di dalam pasukan sejak dua bulan lalu namun kami sentiasa cuba untuk positif. Apa yang penting, walaupun kita gagal mara dalam AFC, kita menang perlawanan tersebut dan itu adalah satu tonik yang sangat diperlukan apabila berkunjung ke Kelantan.
âMemang kita ada melakukan kesilapan dalam perlawanan tersebut tetapi pemain telah cuba sedaya-upaya untuk memperbetul keadaan. Malah saya gembira dengan peningkatan dan usaha ditunjukkan pemain-pemain seperti Safawi (Rasid), Hazwan (Bakri). Kita lupakan AFC, kini terus pandang ke depan.
âKita tidak akan pandang Kelantan sebelah mata, saya tahu mereka dibarisi pemain muda yang begitu ghairah tetapi penting untuk menewaskan Kelantan kerana kami ketika ini empat mata mengatasi pasukan tangga kedua Pahang dalam carta liga supaya dapat menjarakkan lagi kedudukan, atau sekurang-kurangnya mengekalkan jurang itu,â kata Longhi.
Kelantan ketika ini menduduki tangga kesebelas selepas enam perlawanan dengan hanya mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri â pasukan itu tidak putus-putus dihimpit kontroversi berikutan tindakan menamatkan kontrak dan menggugurkan ramai pemain senior secara âpra-matangâ.
Dua pemain senior, Khairul Fahmi Che Mat dan Badhri Radzi adalah mangsa terbaru dengan Fajr mendedahkan mereka tiada dalam perancangan kononnya kerana tidak sesuai dengan taktikal yang diterapnya.
Fajr sebaliknya telah merekrut seramai tujuh pemain dari skuad Piala Presiden Kelantan iaitu Syaiful Alias, Fikri Che Soh, Imran Samso, Nik Azli Nik Alias, Daniel Hakim Deraman, Danial Ashraff Abdullah dan Afiq Saluddin.
Meskipun perlawanan Kelantan â JDT boleh dianggap sebagai pertembungan dua pasukan berbeza reputasi, ibarat âDavid vs Goliathâ, rata-rata penyokong Kelantan tetap optimis pasukan itu boleh melakar kejutan dan mengembalikan musim mereka kembali berada dalam landasan.
The Red Warriors tidak pernah menang ke atas JDT dalam empat pertemuan terakhir dengan kemenangan terakhir adalah pada Ogos 2015, apabila skuad yang dibimbing Zahasmi Ismail ketika itu menang 4-1 di Kota Bharu manakala kemenangan 6-1 yang dilakar dalam aksi suku akhir Piala Malaysia 2013 kekal sebagai kemenangan paling popular ke atas pasukan paling berjaya dalam arena bolasepak tanah air itu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN