penang.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat Harimau Kumbang untuk muncul pasukan pertama mengutip mata di Larkin musim ini tidak kesampaian gara-gara jaringan tunggal pada masa kecederaan Safee Sali yang membantu Johor Darul Takzim menewaskan Pulau Pinang 1-0.

Kemenangan itu sudah memadai buat Harimau Selatan untuk terus menghimpit kedudukan Felda United di tangga teratas Liga Super setelah mengumpul 24 mata, hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan skuad kendalian Irfan Bakti itu yang mengukuhkan cengkaman dengan menewaskan Kelantan pada Rabu.

Pulau Pinang yang tidak menang sejak lapan perlawanan lalu, sedar mereka berdepan cabaran sukar untuk mengakhiri kemarau itu apabila berdepan skuad juara bertahan itu yang masih segar dengan kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala FA.

Dan hakikat itu jelas terlihat apabila skuad bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid yang turun dengan meletakkan lima pemain pertahanan, terpaksa menyerap asakan bertali arus dari segenap sudut oleh rangkaian serangan JDT sejak dari sepak mula dan beberapa kali diejek oleh penyokong tuan rumah kerana bermain taktikal ultra-defensif dan kerap melengahkan masa.

JDT tidak pernah gagal menjaringkan gol dalam kesemua 20 perlawanan musim ini dan tatkala Pulau Pinang hampir sahaja muncul pasukan pertama meleburkan rekod itu sambil membawa pulang satu mata berharga, Safee yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-80 merembat masuk dari jarak dekat hasil situasi kelam kabut di depan gawang Pulau Pinang.

Tatkala kemenangan memastikan JDT turut berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini, kekalahan pula menyaksikan Pulau Pinang berdepan kemungkinan terlepas aksi Piala Malaysia setelah hanya mengutip enam mata dari sepuluh perlawanan, sama mata dengan pasukan tangga tercorot, Sarawak.

Menambah tekanan di kem Pulau Pinang, aksi mereka yang seterusnya adalah menentang pendahulu, Felda United pada 18 Mei depan, manakala Sarawak yang turut mengharungi prestasi buruk dilihat mempunyai peluang lebih baik untuk menyambar tiket Piala Malaysia terakhir apabila melayan kunjungan Perak. 

- Advertisement -