penang.12

Oleh Muhammad Aiman

Tidak layak beraksi di Piala Malaysia memang satu kekecewaan besar, namun dalam masa sama ia sebenarnya memberi sedikit kelebihan buat Pulau Pinang dalam mencatat keputusan yang  lebih baik dalam saingan Liga Super.

Tatkala kesemua 11 pasukan lain terlibat dalam saingan Piala Malaysia yang dilangsungkan serentak dengan saingan liga, sekaligus memberi kesan kepada prestasi mereka dek faktor kepenatan, Pulau Pinang pula masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan sejak Liga Malaysia kembali bersambung setelah rehat panjang tujuh minggu.

Selain rombakan besar pada struktur kejurulatihan dan pengurusan, kemasukan dua pemain import berkualiti – Jeong Seok Min dari Korea Selatan dan Ranti Martins dari Nigeria – boleh dikatakan penyumbang kepada kebangkitan Pulau Pinang.

Skuad Harimau Kumbang yang menduduki tangga tercorot liga selepas tamat pusingan pertama, menewaskan T-Team dan Kedah, serta mencatat keputusan seri menentang Selangor dan terbaru Johor Darul Takzim, Rabu lalu.

Namun, deretan keputusan impresif itu belum dapat membantu skuad bimbingan Nenad Bacina untuk keluar dari zon penyingkiran, berada di tangga kesebelas dengan 15 mata, dua mata mengatasi Pahang dan satu mata di belakang Terengganu.

Justeru Bacina berharap prestasi yang ditunjukkan ketika menentang pasukan-pasukan besar dapat diteruskan apabila pasukannya berdepan pasukan lain yang sedang turut sama bergelut di zon penyingkiran.

“Kami telah mencatat beberapa keputusan yang cemerlang menentang pasukan besar seperti Kedah, Selangor, JDT. Namun sayangnya ia tidak membantu kami perbaiki kedudukan liga.

“Kami perlu teruskan rentak ini, tiada gunanya jika anda boleh catat keputusan positif menentang pasukan besar, tetapi bergelut bila berdepan pasukan yang sama-sama bergelut di zon penyingkiran. Beza mata antara kami dengan enam pasukan di atas kami tidaklah besar, hanya lima mata. Jadi ianya penting untuk kami kekalkan prestasi ini dan terus catat keputusan positif.”

Apapun Bacina mengingatkan agar penyokong tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain, “Saya tahu kadang-kadang peminat mahukan sesuatu yang lebih apabila kita mula mencatat keputusan positif. Adalah penting untuk pemain kekal fokus dan tidak terbuai. Memang kita berada pada prestasi yang baik, tetapi perjalanan masih jauh.”

Aksi Pulau Pinang yang seterusnya adalah menentang Sarawak pada Sabtu (6 Ogos), Kelantan (16 Ogos), Perak (24 Ogos), PDRM (10 Sept), Pahang (24 Sept) dan Terengganu (22 Oktober).

- Advertisement -