Nenad Bacina
Bacina

Oleh Ku Mohd Lufti

Pasukan Bolasepak Pulau Pinang sah mengikat dua pemain import baru untuk mengharungi baki saingan liga Super musim ini.

Pemin kelahiran Nigeria, Ranti Martins merupakan bekas pemain kelab dari Liga India, East Bengal akan beraksi di posisi penyerang.

Pemain berusia 29 tahun ini meledak 32 gol dalam 33 penampilannya bersama East Bengal, malah beliau juga meledak 147 gol sepanjang 160 penampilannya bersama kelab Dempo ketika musim 2004 hingga 2012.

Satu lagi kuota pemain import Harimau Kumbang diisi pemain kelahiran Korea Selatan, Seok Min Jong dan akan beraksi di posisi pertahanan.

Pemain berusia 28 tahun ini pernah beraksi bersama salah satu kelab ternama di Asia, Pohang Steelers ketika diawal kariernya.

Sebelum menyertai Pulau Pinang, Min Jong beraksi untuk Jeonnam Dragons selama semusim dan melakukan 26 penampilan.

Malah, Min Jong juga boleh beraksi di bahagian tengah dan serangan, sekaligus dijangka mampu membantu Martins untuk merobek gawang lawan.

Martins dan Seok Min Jung menggantikan Brent Griffiths dan Osas Ikpefua yang gagal mempamer aksi konsisten sekaligus memaksa pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang untuk melakukan perubahan.

PBPP sebelum ini turut melakukan perubahan dalam bahagian kejurulatihan dengan melantik Nenad Bacina sebagai ketua jurulatih menggantikan Azizudin Mohd Sharif f dan Bojan Hodak pula dilantik sebagai ketua pengarah urusan persatuan.

Pulau Pinang kini ditangga tercorot liga, bakal memulakan separuh masa kedua Liga Super musim 2016 menentang Terengganu FC II atau dikenali dengan nama T Team sebelum ini di gelanggang lawan.

- Advertisement -