Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas prestasi tidak menentu dalam saingan musim 2016, Pulau Pinang optimis mahu memberikan saingan yang lebih baik bagi musim 2017.

Pengendali baru pasukan Pulau Pinang, Ashley Westwood giat melakukan persiapan untuk memastikan aspek kecergasan, disiplin serta tempo permainan yang lebih baik berbanding musim lalu sekaligus bakal menjanjikan saingan yang kompetitif.

Pengurus pasukan, Zairil Khir Johari menjelaskan, sistem pusat latihan bersepadu yang dibentuk Ashley tampak satu pendekatan baru kerana ia belum pernah di praktikkan di Pulau Pinang sebelum ini.

Malah, pengendali berusia 40 tahun itu menggabungkan aspek sains dan sukan dalam program latihan yang dikendalikannya.

“Pusat latihan bersepadu di Stadium Bandaraya itu mempunyai program holistik merangkumi aspek pemakanan seperti diet dan menu pemain yang dititikberatkan.

“Selain pembaharuan itu, khidmat fisioterapi serta program latihan di dalam dan luar padang juga diberi nafas baru,” kata Zairil.

Bekas pengendali kelab liga Inggeris, Portsmouth itu juga lebih memfokuskan pembangunan pemain muda skuad Harimau Kumbang seperti Muhd Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba, Redzuan Suhaidi, Abdul Qayyum, Faizat Ghazali, S Kumaahran., dan Zulkhairi Zulkifli.

Pemain ternama tampak bukan fokus utama Ashley Westwood susulan kekurangan dana untuk berbelanja besar.

- Advertisement -