‘Hadiah’ buat pasukan negara di atas kejayaan mara ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang sedang berlangsung di China petembungan dengan satu lagi pasukan gergasi Asia, Korea Selatan.
Korea Selatan yang juga naib juara edisi 2016 mara selaku juara Kumpulan D setelah menewaskan Australia 3-2 dalam aksi terakhir sekaligus menerbitkan persepsi awal hanya setakat suku akhir sahajalah perjuangan anak-anak muda bimbingan Dato’ Ong Kim Swee ini.
Tunggu dulu! Bukankah persepsi yang sama ini juga yang timbul selepas kekalahan 1-4 kepada Iraq dalam aksi pertama, bahawasanya mereka akan ‘bungkus’ awal? Jadi Kim Swee dan barisan pemainnya punyai banyak sebab untuk tetap optimis dengan peluang melakar kejutan.
Siapa yang bermain lebih baik dalam 90 minit, merekalah yang akan mara jadi kenapa perlu gentar? Jika Jordan boleh diikat, Arab Saudi boleh ditumbangkan, tidak mustahil Korea Selatan juga boleh ‘diajar’ – itulah tanggapan klise yang bermain mungkin di hampir seluruh penyokong bolasepak negara.
Begitupun, penyokong perlu realistic dan sedar di mana takuk kita. Usah memasang impian terlalu tinggi, usah tambahkan tekanan, buat masa ini Kim Swee perlu fokus dalam mempersiapkan skuad terbaik yang boleh berikan tentangan cukup sengit di atas padang.
Mereka yang menonton perlawanan menentang Arab Saudi pastinya mengakui kita belum capai satu tahap yang boleh dibanggakan, masih banyak perlu diperkemas terutama di barisan depan yang kurang kreatif dalam mencipta peluang – belum masanya mengimpikan bulan dan bintang.
Perlu diakui kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi dibantu oleh disiplin yang cukup tinggi di barisan pertahanan. Tetapi menentang Korea Selatan, pendekatan bermain secara bertahan pastinya bukan pilihan yang bijak, skuad negara perlu mencipta peluang, memburu jaringan dan menjadi lebih ‘jantan’ dan bukannya bermain seperti pengecut.
Sorakan Ultras Malaya di stadium dan doa penyokong di seluruh negara akan mengiringi perjuangan mereka Sabtu ini. Ayuh harimau, serlahkan taring, bangkitlah mengaum, buktikan bolasepak kita sememangnya sudah berada di tahap yang wajar disegani, dan bukannya bersandar kepada faktor nasib semata-mata. OLEH MUHD AIMAN