Johor Darul Takzim (JDT) mungkin dianggap sebagai pilihan mutlak untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini namun terlebih dahulu mereka perlu menampilkan karakter sang juara apabila berdepan Perak dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Larkin malam ini.
Kelebihan bermain di gelanggang sendiri, kelebihan jaringan di tempat lawan dan mempunyai skuad yang cergas sepenuhnya untuk diturunkan menjadi antara sebab mengapa Harimau Selatan dilabel pilihan namun ia belum memadai untuk skuad juara Liga Super itu mendabik dada terlalu awal.
Menentang Perak yang bertandang tanpa lima tonggak utama selain kebal tanpa tewas sejak 44 perlawanan di Larkin bukan alasan untuk mereka memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu yang mengintai aksi final pertama sejak 2007.
Pengendali JDT, Ulisses Morais mengakui hakikat itu, “Kami perlu melupakan keputusan separuh akhir pertama dan melupakan bahawa kami ada jaringan tempat lawan, kami tidak boleh mengharapkan keputusan itu kerana ia bukan jaminan kami akan mara.
“Saya mahu pemain anggap perlawanan ini belum ada jaringan dan manfaatkan kelebihan gelanggang sendiri, bekerja keras kerana sasaran kita adalah mahu menang perlawanan ini bukannya layak sebab nasib atau jaringan tempat lawan.”
Untuk rekod, Piala Malaysia adalah satu-satunya trofi yang belum pernah dimenangi JDT sejak pasukan itu diwujudkan pada 2013. Pencapaian terbaik mereka adalah mara ke final pada 2014 namun sekadar berpuas hati selaku naib juara setelah tewas kepada Pahang menerusi penentuan penalti.
Sementara itu, kapten pasukan, Safiq Rahim mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah cabaran skuad The Bos Gaurus meskipun ramalan di atas kertas memperlihatkan betapa pasukannya tidak akan bermasalah besar untuk merakam kemenangan.
“Ini peluang terbaik kami, kami mempunyai sebuah pasukan lengkap dan semua pemain berkongsi keinginan sama iaitu mahu memastikan Piala Malaysia singgah di bumi Johor selepas 26 tahun.
“Hakikat bahawa Piala Malaysia adalah satu-satunya trofi belum pernah dijulang JDT adalah penyuntik motivasi terbaik buat kami tapi kami perlu lepasi baki 90 minit menentang Perak terlebih dahulu. Perak tetap kuat walaupun tanpa pemain tonggak, buktinya sudah kita lihat di Ipoh jadi kami kena berwaspada,” ujar Safiq.
Aksi di Ipoh pada Ahad lalu berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 dengan Perak mendahului menerusi jaringan Hasbullah Bakar di separuh masa pertama manakala JDT membalas menerusi Mohamed Ghaddar di separuh masa kedua. – OLEH MUHAMMAD AIMAN