Oleh Muhammad Aiman
Johor Darul Takzim semakin hampir menjadi pasukan pertama dari Malaysia untuk layak beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) setelah mengetepikan Bangkok United menerusi penentuan penalti dalam aksi pusingan kelayakan kedua ACL pada Selasa.
Namun skuad Benjamin Mora belum boleh melonjak riang, mereka perlu terlebih dahulu melepasi halangan bekas juara dari Jepun, Gamba Osaka yang menanti di pusingan ketiga, 7 Februari depan.
Untuk rekod, ini adalah cubaan kali ketiga skuad Harimau Selatan memburu tempat dalam kelompok 24 pasukan terbaik Asia yang beraksi di ACL dan mereka perlu berada pada prestasi luar biasa ketika berdepan skuad juara 2008 itu di gelanggang lawan, Suita City.
âIa satu suntikan motivasi terbaik untuk menang perlawanan ini dan kami perlu tetapkan dalam pemikiran bahawa kami ke Jepun dan boleh menang perlawanan tersebut. JDT adalah sebuah pasukan juara, pemain-pemain ini adalah pejuang dan mereka bermain untuk menang.
âApa yang penting sekarang adalah mindset dan motivasi pemain, mereka perlu tahu mereka berada dalam sebuah pasukan juara dan telah dididik dengan karakter seorang juara. Kita pernah datang ke Thailand sebelum ini dan tidak mencatat keputusan yang bagus, justeru ia menjadikan keinginan mereka lebih kuat.
âKini mereka berjaya melakukan yang lebih baik di sini, dan saya percaya mereka akan terus meningkat dan cemerlang sebagai satu pasukan. Saya merasakan pasukan ini menunjukkan kesungguhan, semangat juang dan determinasi yang hebat apabila berdepan pasukan yang jauh lebih baik. Kami banyak mengkaji mengenai kekuatan pasukan lawan dan secara taktikalnya, bermain dengan cukup baik, â kata Mora.
Pendapat sama turut dikongsi ketua pasukan JDT, Safiq Rahim, âMereka (Gamba Osaka) adalah sebuah pasukan yang kuat tetapi dalam bolasepak apa sahaja boleh berlaku. Kita cuma perlu yakin, kekal fokus dan bermain mengikut arahan. Kami akan membuat persiapan rapi agar boleh cipta kejutan di Jepun nanti.â
Pada perlawanan menentang Bangkok United di Stadium Thammasat itu, penjaga gol JDT, Farizal Marlias menebus kegagalan Marcos Antonio menyempurnakan penalti apabila muncul wira dengan menyelamatkan dua sepakan penalti lawan untuk membolehkan mereka mara dengan kemenangan penalti 5-4.
Perlawanan masa sebenar sebelum itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dan tambahan masa 30 minit berkesudahan dengan keputusan seri 1-1. Ianya JDT yang terlebih dahulu berada di depan menerusi tandukan cantik Safiq hasil hantaran Jeronimo Barrales pada minit ke-108.
Namun empat minit kemudian JDT beraksi 10 pemain setelah Barrales dilayangkan kad merah dan kelebihan itu dimanfaatkan Bangkok untuk menjaringkan gol penyamaan di minit akhir perlawanan menerusi sentuhan Jaycee John.
Pemenang aksi play-off terakhir pada 7 Februari akan menyertai Adelaide United, Jiangsu Suning dan Jeju United dalam Kumpulan H di ACL.