Jaguh pecut negara, Harith Ammar Mohd Sobri dan perenang, Irene Chong masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan & Olahragawati di majlis Malam Anugerah Sukan 2015 yang dilangsungkan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.
Harith dipilih berikutan kejayaannya meraih emas acara pecut 100m dalam temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2016 yang berlangsung di Johor bermula 25 Januari hingga 5 Februari .
Lebih membanggakan, catatan 10.74s yang dilakukannya itu berjaya memaÂdam rekod lama 10.82s milik Mohd. Azhar Md. Ismail dari Kolej Komuniti Pahang yang dilakukan ketika SUKIPT 2012.
Irene pula dinobatkan atas kejayaannya menggondol empat emas, satu perak dan dua gangsa seterusnya bergelar Olahragawati pada temasya SUKIPT 2016.
Di samping itu, buat julung kalinya, Pusat Sukan memperkenalkan anugerah Road to Rio bagi menghargai pencapaian dua atlit UM, Pandelela Rinong dan Wendy Ng yang melayakkan diri ke temasyai sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik yang bakal dilangsungkan di Rio de Janeiro, Ogos ini.
Pengarah Pusat Sukan, Profesor Dr Zulqarnain Mohamed, menyifatkan anugerah ini sebagai penghargaan buat atlit UM yang mengharumkan negara dan universiti atas kejayaan melayakkan diri ke pentas sukan terbesar dunia.Â
“Pihak Pusat Sukan berharap bahawa Pandelela dan Wendy mampu menerbitkan cabaran bermakna buat negara di pentas Olimpik nanti,” katanya.