Kelantan melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super dengan penuh bergaya setelah bangkit dua kali dari ketinggalan untuk menewaskan Perak 3-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bahru pada Sabtu.
Pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun muncul wira apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-67, 77 dan 88 sekaligus menghadiahkan Perak kekalahan kedua berturut-turut dan yang pertama di tempat lawan.
Perak bimbingan Mehmet Durakovic sebelum itu mendahului 1-0 menerusi Nor Hakim Hassan pada minit ke-21 dan kemudiannya 2-1 menerusi Wander Luiz pada minit ke-69.
Ia juga perlawanan pertama kendalian Yusri Che Lah dan penampilan sulung buat pemain dari Lubnan, Mohamed Ghaddar.
Kemenangan membantu Kelantan keluar dari tangga tercorot dan berada di tangga kelapan dengan empat mata sementara Perak kekal di tangga ketujuh.
Sementara itu, Johor Darul Takzim merampas semula kedudukan pendahulu dari Terengganu FC setelah membenam Melaka United 3-0 menerusi jaringan Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Natxo Insa.
JDT menerajui liga dengan sembilan mata namun kedudukan mereka berpotensi berubah andai PKNS FC menewaskan Kedah pada Ahad.
Satu lagi aksi berlangsung pada Sabtu menyaksikan Selangor kecundang 1-3 di laman sendiri kepada Pahang.
Pahang beroleh jaringan menerusi Patrick Cruz dan dua jaringan Forkey Doe manakala Selangor membalas menerusi Rufino Segovia. Kemenangan melonjakkan Pahang ke tangga ketiga dengan tujuh mata.
Aksi yang berlangsung terdahulu pada Jumaat menyaksikan Terengganu FC menewaskan Negeri Sembilan 2-1 menerusi jaringan Ashaari Samsudin dan Lee Jun Hyeob.
TFC bimbingan Irfan Bakti ketika ini di tangga kedua manakala Negeri Sembilan semakin tercicir dalam kedudukan liga, berada di tangga kesepuluh. – OLEH MUHAMMAD AIMAN