Felda United melonjak selaku pendahulu 100PLUS Liga Premier setelah mencatat kemenangan kedua dengan membelasah PDRM 6-2 di Stadium Hang Jebat pada Selasa.
Pemain import yang direkrut dari PKNP, Gilberto Fortunato Valdenisio menjaringkan hatrik buat the fighters pada minit ke-8, 43 dan 72 manakala tiga lagi jaringan disumbangkan kapten Shukor Adan (m-40), Shamim Yahya (m-49) dan Iain Ramsay (m-55).
Skuad bimbingan B.Sathiananthan itu mendahului carta liga dengan enam mata.
Pendahulu minggu pertama, Sabah tergelincir ke tangga kedua dengan empat mata setelah mencatat keputusan seri 1-1 menentang pendatang baru Felcra FC di Stadium Shah Alam.
Anselmo Arruda Da Silva meletakkan Felcra bimbingan Tarchisio Pugliese di depan pada minit ke-29 namun Sabah mencuri satu mata menerusi jaringan penyamaan Lee Gil Hoon tujuh minit kemudian.
Sarawak yang mencatat keputusan seri 1-1 menentang Terengganu FC II dalam aksi yang berlangsung lebih awal pada Isnin pula berada di tempat ketiga juga dengan empat mata. Bobby Gonzales menyelamatkan satu mata buat Bujang Senang menerusi jaringan penyamaan pada masa kecederaan, memadam kelebihan TFCII yang mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan Akani Sunday Wasiu.
Sementara itu, aksi lain yang berlangsung Selasa menyaksikan Pulau Pinang mencatat kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan UKM FC 2-1 di Stadium Negeri Batu Kawan.
Azinee Taib menjaringkan kedua-dua gol buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu pada minit ke-24 dan 74 manakala gol tunggal UKM FC dijaringkan Faizol Fazreen.
Satu lagi aksi, pertembungan antara Kuantan FA dan MIFA berkesudahan seri 1-1. – OLEH MUHAMMAD AIMAN