Oleh Muhammad Aiman
Hatrik jaringan penyerang berbisa, Gabriel Guerra memastikan Johor Darul Takzim bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Magwe FC 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F seterusnya melangkah ke separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara.
JDT menamatkan cabaran di tempat kedua kumpulan di belakang Global FC dengan mengumpul 13 mata sekaligus mengiringi pasukan dari Filipina itu ke kelompok empat terakhir setelah muncul pasukan tempat kedua terbaik dari kalangan tiga kumpulan.
Di separuh akhir yang akan berlangsung 17 Mei nanti, Harimau Selatan akan berdepan kelab Filipina, Ceres Negros yang mara setelah mengungguli Kumpulan G manakala Global berdepan kelab Singapura, Home United.
Dalam aksi di Larkin itu, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan oleh wakil Myanmar itu seawal minit ketujuh apabila Kyaw Sar Linn menanduk masuk hantaran sepakan percuma Hein Zar Aung.
JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi percubaan R.Gopinathan namun sepakannya melewati malang, Begitupun hanya dua minit kemudian, kedudukan menjadi 1-1 apabila Guerra melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Kyaw Zin Phyo.
Perlawanan selepas itu tampak didominasi skuad kendalian Benjamin Mora itu dan mereka mengekalkan penguasaan dengan menambah dua jaringan di babak kedua. Guerra menyempurnakan hantaran Safiq Rahim pada minit ke-58 dan melengkapkan hatriknya dengan menyudahkan penalti pada minit ke-78.
Nasib berbeza bagaimanapun dialami satu lagi wakil negara, Felda United yang menamatkan cabaran Kumpulan G di kedudukan tercorot setelah tewas 1-4 kepada wakil Vietnam, Hanoi di Stadium My Dinh.
Felda sememangnya dilihat tidak mempunyai sebarang peluang meneruskan kemaraan namun mereka meletakkan sasaran mahu menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan. Begitupun Hanoi yang turut memburu kedudukan selaku juara kumpulan nyata terlalu terlalu kuat buat mereka.
Setelah kedudukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Hanoi tampil garang di babak kedua dengan membuka jaringan menerusi Pham Duc Huy pada minit ke-54. Nguyen Van Quyet kemudian menjaringkan dua gol sebelum Do Hung Dung menjadikan kedudukan 4-0 pada minit akhir.
Gaston Cellerino menjaringkan gol saguhati buat The Fighters pada masa kecederaan.