29th SEA Games KL2017 Football - Laos vs Brunei
Kongmathilath melengkapkan kemenangan mutlak 3-0 buat Laos.

Jaringan hatrik Kongmathilath Phithack di separuh masa kedua membolehkan Laos menewaskan Brunei 3-0 dalam saingan Kumpulan A bolasepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Universiti Malaya pada Isnin (21 Ogos).

Ia adalah kemenangan pertama buat skuad bimbingan Monheng Mikewong setelah tewas dua perlawanan sebelum ini kepada Myanmar dan Singapura manakala bagi Brunei ianya adalah kekalahan ketiga berturut-turut.

Setelah aksi seimbang dan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Laos tampil dengan permainan lebih agresif di separuh masa kedua dan hampir sahaja memecah kebuntuan pada minit ke-54 namun percubaan Kongmathilath sedikit melewati palang.

Kerja keras Laos membuahkan hasil pada minit ke-63, kali ini Kongmathilath tidak melakukan kesilapan apabila rembatan rendahnya dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Brunei, Haimie Anak Nyaring.

Perlawanan didominasi sepenuhnya Laos selepas itu dan mereka berjaya menggandakan kelebihan menerusi Kongmathilath yang merembat masuk gol kedua setelah percubaan awal Phommathep Pathana terkena palang pada minit ke-73.

29th SEA Games KL2017 Football - Laos vs Brunei

Laos kemudiannya mempunyai dua lagi peluang menerusi Phommathep pada minit ke-75 dan Khochalern Phoutthasay pada minit ke-81 namun dinafikan dengan cemerlang oleh Haimie.

Kongmathilath melengkapkan kemenangan mutlak 3-0 buat Laos setelah sepakan percuma rendahnya terus menerjah jaring sekaligus menghadiahkan tiga mata pertama.

Kemenangan menyaksikan Laos melonjak ke tangga ketiga Kumpulan A namun sama ada mereka masih berpeluang atau tidak mengintai slot ke separuh akhir bergantung sepenuhnya kepada perlawanan Malaysia menentang Myanmar malam ini.

Andai Malaysia berjaya menewaskan Myanmar atau sekurang-kurangnya seri, Laos dan Singapura yang turut mengumpul tiga mata akan tersingkir dari saingan.

Namun andai Malaysia tewas, perlawanan terakhir Malaysia menentang Laos pada Rabu ini akan menjadi penentu pasukan mana yang akan meneruskan kemaraan.

Brunei pula akan menutup cabaran kumpulan dengan menentang Singapura juga pada Rabu ini.

 

29th SEA Games KL2017 Football - Laos vs Brunei

Jurulatih Laos, Monheng Mikewong :
Kami tidak menyudahkan peluang di separuh masa pertama dan ia banyak menganggu motivasi pemain. Saya nasihatkan mereka untuk lebih tenang depan gol dan hasilnya lebih banyak peluang dicipta dan tiga gol terhasil. Pemain lebih yakin dan kita mendorong Brunei melakukan kesilapan demi kesilapan. Seperti saya kata, kami di sini untuk beri saingan bukan untuk pendedahan, kami akan cuba berikan yang terbaik sehingga perlawanan terakhir menentang Malaysia.

 

Jurulatih Brunei, Kwon Oh Son :
Ia bukan sesuatu yang bagus untuk tewas tiga kali berturut-turut. Kami berjaya menyaingi Laos di separuh masa peluang, ada mencipta peluang gol tetapi faktor kurang pengalaman agak ketara apabila kami sudah bolos satu gol. Secara keseluruhannya perlu diakui masih banyak perlu kami perbaiki. Pemain-pemain masih muda dan mereka perlu lebih pendedahan jika mahu menjadi lebih kompetitif. Kami akan cuba akhiri saingan dengan satu keputusan positif.

- Advertisement -