Oleh Muhammad Aiman
Melaka United terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas 100PLUS Liga Premier setelah dua kali bangkit dari ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Uitm FC di Shah Alam, terima kasih kepada hatrik jaringan ‘mesin gol’ Ilisa Spasojevic.
Spasojevic yang digelar ‘spaso-gol’ oleh penyokong skuad sang kancil, meledak jaringan pada minit ke-12, 55 dan 74, memadam dua gol tuan rumah jaringan John Matkin pada minit ketiga dan Nik Syafiq Syazwan pada minit ke-48.
Ia adalah kemenangan kesepuluh dari 11 perlawanan terakhir Melaka dan yang keenam berturut-turut, sekaligus memastikan anak buah Mat Zan Mat Aris unggul menerajui liga dengan 42 mata, mengekalkan kelebihan lima mata mengatasi pencabar terdekat Johor Darul Takzim II.
JDT II terus menyalakan peluang mereka untuk menghambat kedudukan Melaka, dengan gol tunggal jaringan Paolo Rangel di babak kedua sudah memadai untuk skuad bimbingan Benjamin Mora menewaskan PKNS Selangor.
Kemenangan membolehkan JDT II menjarakkan kedudukan di tempat kedua kepada empat mata mengatasi PKNS yang kekal di tangga ketiga.
Sementara itu, dua pasukan pencabar awal musim – Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan –sudah boleh melupakan hasrat mengejar kejuaraan mahupun merebut tempat dua teratas untuk layak ke Liga Super setelah kedua-duanya sekadar mencatat keputusan seri.
Negeri Sembilan memerlukan jaringan Alexander Smith untuk mengikat Sime Darby di Paroi manakala skuad warga kota pula mengharapkan jaringan penyamaan lewat Diego inostroza untuk mengikat Kuantan FA 2-2 juga di laman sendiri.
Meskipun secara matematiknya peluang masih ada untuk dua pasukan itu, namun mengambil kira kemeruduman prestasi sejak lima perlawanan terakhir nyata ianya sukar bagi mereka untuk mengejar kedudukan Melaka mahupun JDT II.
Perlawanan lain menyaksikan gol tunggal Maxius Musa pada minit ke-54 membantu barisan 10 pemain Sabah menghadiahkan ATM kekalahan pertama dalam lima perlawanan, manakala Perlis turut melakar kemenangan tipis 1-0 menewaskan DRB Hicom hasil jaringan minit pertama Charles Chad Souza.