Pendahulu keseluruhan, Md Helmi Azman waspada dengan ancaman pelumba-pelumba tuan rumah termasuk pelumba wildcard dalam usaha untuk memungut mata maksimum dalam saingan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Pelumba SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team itu kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 134 mata termasuk hasil dua gelaran juara dan tiga kali penamat di tempat kedua.

Berbaki empat perlumbaan dalam dua pusingan terakhir musim ini, Helmi kini 23 mata mengatasi rakan senegara, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) manakala Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR Racing Team) ketiga dengan 88 mata.

Sementara itu pelumba tuan rumah, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) di kedudukan keempat dengan 81 mata.

“Pelumba tuan rumah sentiasa mendatangkan ancaman kepada pelumba negara jika di Sentul termasuk pelumba wildcard. Mereka sudah biasa dengan keadaan litar ini dan banyak memberi kelebihan kepada mereka,” jelas Helmi.

 

 

“Seperti musim lepas, meskipun saya berjaya menaiki podium dalam kedua-dua perlumbaan tetapi pelumba wildcard mereka, Richard Taroreh memenangi perlumbaan kedua manakala Wahyu turut menaiki podium dalam kedua-dua perlumbaan.

“Selain itu, saya juga perlu lebih berhati-hati dan mengatur strategi terbaik bersama rakan sepasukan. Sebagai pendahulu, mesti saya menjadi perhatian untuk ditewaskan bagi memberi peluang pelumba negara mereka untuk merapatkan jurang.”

 

- Advertisement -