Oleh Muhammad Aiman
Setelah dua kali kecewa di pentas final, jurulatih perseorangan Hendrawan meletakkan harapan tinggi agar sandaran utama pingat emas negara, Dato’ Lee Chong Wei akan akhirnya berjaya dalam percubaan ketiganya untuk mengucup kilauan emas di Sukan Olimpik Rio De Janeiro, bulan depan.
Chong Wei akan beraksi di temasya olimpik keempat yang juga terakhir buatnya sejak penampilan pertama di Athens 2004, dan Hendrawan berpendapat dengan persediaan yang lebih sempurna untuk edisi kali ini, Chong Wei berada di landasan tepat untuk merealisasikan bukan sahaja impian peribadinya, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
“Chong Wei mengalami kecederaan buku lali beberapa bulan sebelum ke olimpik London 2012 dan menghabiskan lebih banyak masa merawat kecederaan serta pemulihan berbanding turun menjalani latihan. Untuk kali ini dia tiada sebarang kecederaan dan berada pada tahap terbaiknya.
“Memang dari aspek persiapan, adalah penting buatnya untuk bebas dari kecederaan. Saya harap kali ini adalah gilirannya untuk menjadi juara olimpik. Empat tahun lalu, dia masih muda dan kali ini dia lebih matang.
“Sama ada dia akan berdepan Lin Dan atau tidak dalam laluannya, itu tidak penting. Chong Wei perlu bersedia untuk tewaskan siapa sahaja untuk capai impiannya,” ujar Hendrawan yang akan mengiringi perjuangan Chong Wei di Rio bersama-sama Tey Seu Bock.
Untuk rekod, pemain badminton nombor satu dunia itu sekadar pulang dengan pingat perak di Beijing 2008 dan London 2012, kedua-duanya tewas kepada seteru utama Lin Dan.
Undian Olimpik Rio pada Selasa, menyaksikan Chong Wei berdepan laluan mudah apabila berdepan Soren Opti dari Surinam dan Deren Wok dari Singapura dalam Kumpulan A, sebelum dijadual bertemu Chou Tien Chen di suku akhir.
Cabaran sebenar buat Chong Wei adalah di peringkat separuh akhir apabila dia dijangka memperbaharui permusuhan buat kali ketiga dengan penyandang juara, Lin Dan namun Hendrawan optimis dengan bantuan analisis video lawan oleh Institut Sukan Negara akan dapat membantu menyerlahkan prestasi Chong Wei ke tahap terbaik mungkin.
Hendrawan ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontijen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016, di Istana Negara pada Khamis, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Kontinjen olimpik negara kali ini diwakili seramai 32 atlet, dengan Chong Wei diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Kontinjen Olimpik Rio De Janeiro 2016 :
Chef De Mission : Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid
Terjun : Pandalela Renong, Wendy Ng, Cheong Jun Hoong. Nur Dhabitah Sabri, Amsyar Azman, Ooi Tze Liang; Renang : Welson Sim, Phee Jinq En, Heidi Gan; Badminton : Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Vivian Hoo, Woon Khe Wei, Tee Jing Yi; Menembak : Johnathan Wong; Memanah : Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin, Akmal Nor Hasrin; Olahraga : Nauraj Singh Randhawa, Zaidatul Husniah Zulkipli; Golf : Danny Chia, Michelle Koh, Kelly Tan, Gavin Kyle Green; Berbasikal : Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa; Pelayaran : Khairulnizam Md Efendy, Nor Shazrin Latif; Angkat Berat : Hafifi Mansor