Oleh Muhammad Aiman
Pemain sayap Brisbane Roar, Henrique Silva menjadi rekrut pertama skuad Negeri Sembilan di pintu perpindahan kedua Liga Malaysia, dalam usaha memperkuatkan cabaran pasukan itu memburu tiket beraksi di Liga Super musim depan.
Perkara itu disahkan oleh pengurus pasukan Hoben Jang Hoben, Satwant Singh yang menegaskan pemain kacukan Brazil – Australia berusia 31 tahun itu telah terbukti mempunyai segala kualiti diperlukan untuk menyarung jersi Negeri Sembilan.
“Kita berada di landasan yang baik untuk merebut tempat di Liga Super dan tidak mahu menoleh ke belakang. Semua teruja dengan kehadiran Henrique, dia seorang pemain berprofil tinggi dan merupakan pemain kesayangan di sana (Brisbane). Dia kecil, lincah dan cukup tajam,” kata Satwant.
Sekiranya tiada aral, Henrique yang pernah membuat penampilan lebih 136 kali bersama kelab Liga Australia itu sejak 2009 dijangka membuat penampilan sulungnya bersama Negeri Sembilan pada perlawanan menentang Perlis, 15 Julai depan.
Skuad bimbingan Gary Philips pada awal musim diperkuatkan empat pemain import dengan tiga daripadanya adalah daripada Australia iaitu Taylor Reagan, Andrew Nabbout dan Joel Chianese manakala Alex Smith pula dari England.
Satwant berkata Negeri Sembilan akan membuat dua pertukaran pada pintu perpindahan yang akan dibuka pada 20 Jun ini di mana selain Henrique, mereka turut menguji pemain import dari Perancis, Goran Jerkovic.
Meskipun tidak mendedahkan siapakah pemain yang akan digugurkan, khabar angin bertiup kencang di kalangan penyokong Negeri Sembilan bahawa pemain yang akan disingkirkan adalah dua penjaring terbanyak mereka Andrew dan Joel.
Untuk rekod, selepas berakhir 12 perlawanan 100 Plus Liga Premier, Negeri Sembilan menduduki tangga kedua dengan 25 mata, mendahului JDT II dan Kuala Lumpur yang berkongsi jumlah mata sama menerusi beza jaringan tatkala Melaka United pula mendahului liga dengan 27 mata.
Kali terakhir Negeri Sembilan menjulang trofi adalah pada 2011 iaitu Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu.