Mahu merasai pengalaman bekerja dengan Irfan Bakti Abu Salim menjadi punca utama buat pemain tengah, Mohd Hidhir Idris, memilih untuk bersama Kuching City FC pada musim 2022.
Malah Hidhir berasa bangga dan terkejut kerana Irfan sendiri mahukan dia ke Kuching City dengan menganggap itu sebagai satu motivasi besar buat dirinya setelah lima tahun terlibat dalam dunia bola sepak profesional.
Justeru, dia mengharapkan mampu mendapatkan banyak minit permainan apabila bersama Kuching City sepanjang musim ini selain mematangkan lagi corak permainan di bawah asuhan Irfan.
“ Saya pada mulanya mendapat panggilan dari penolong jurulatih, Sulaiman Hussin dengan memberitahu Irfan berminat mahu saya ke Kuching pada musim 2022 kerana mereka tahu saya mungkin sukar dapat minit permainan di Kedah.
“ Sebelum membuat keputusan ke Kuching, saya ada bertanyakan ramai pandangan bekas pemain seperti K. Soley ( Solehin Kanasian) dan Farizal Rozali, mereka nasihatkan saya suruh pergi untuk bekerja dengan Irfan.
“ Berdasarkan pengalaman mereka, Irfan bukan seorang jurulatih yang mudah untuk memanggil mana-mana pemain dan saya rasa terharu apabila tahu perkara sebenar.
“ Jadi saya tidak mahu sia-siakan peluang ini dan harap boleh belajar banyak dengan Irfan, seorang jurulatih yang sangat berpengalaman luas di kancah Liga Malaysia, ” katanya.
Hidhir sebelum ini dua musim beraksi bersama PDRM FC selaku pemain pinjaman dan dia masih mempunyai kontrak sehingga musim 2023 bersama Kedah.
Boleh beraksi di bahagian sayap dan tengah, Hidhir sebelum ini pernah diangkat antara prospek masa depan Kedah apabila berjaya peraga prestasi baik bersama skuad Hijau Kuning pada musim 2018 dan 2019.
Bersama Kuching City, Hidhir yang bakal menginjak usia 25 tahun, harap mampu membawa pasukan itu ke Liga Super pada musim 2023.
Selepas beberapa hari menjalani latihan bersama Kuching City, dia begitu kagum melihat kesungguhan pemain-pemain yang disifatkan luar biasa serta pengurusan pasukan yang begitu profesional.
“ Ada beberapa perkara yang buat saya kagum di sini ialah pemain-pemain Kuching begitu bersemangat tiap kali melakukan latihan terutama senior seperti Ramesh Lai dan Joseph Kalang Tie.
“ Saya terkejut melihat kecergasan Ramesh terutamanya yang begitu tinggi walaupun sudah berumur 41 tahun, malah saya sendiri rasa tercabar dengan diri sendiri.
“ Malah suasana dalam pasukan begitu harmoni dan saya amat selesa di sini kerana rakan-rakan begitu banyak membantu walaupun ini pengalaman kali pertama tinggal di Kuching, ” katanya.