Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan dalam satu kenyataan terbaru di facebook miliknya mengesahkan ada menerima tawaran untuk pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan bersedia melepaskannya demi kebaikan karier pemain itu dan pasukan.
Nik Shahrul adalah seorang daripada empat pemain senior tempatan yang masih kekal dengan Kelantan selepas begitu ramai pemain-pemain tonggak dilepaskan kerana masalah kewangan kritikal belumpun 10 perlawanan liga berlangsung.
Justeru jika pemain pertahanan itu yang baru musim ini kembali bersama Kelantan selepas beraksi secara pinjaman dengan Negeri Sembilan musim lalu turut dilepaskan, maka skuad The Red Warriors sudah tiada pemain tempatan senior kecuali penjaga gol veteran berusia 38 tahun, Shahrizan Ismail.
Dua lagi pemain iaitu Farisham Ismail dan penjaga gol Ramadhan Hamid memang masih di dalam skuad, namun masa depan kedua-duanya adalah diragui kerana Fajr Ibrahim dilihat tidak lagi berminat menggunakan khidmat mereka dan cenderung memgetengahkan pemain muda dari skuad Piala Presiden.
Ramadhan tidak pernah langsung berada di dalam skuad sejak Fajr mengambil alih manakala Farisham digugurkan sejak dua aksi terakhir walaupun ada yang mengatakan dia sebenarnya mengalami kecederaan.
Selepas membuat keputusan menggugurkan Khairul Fahmi Che Mat, penjaga gol Piala Presiden Fikri Che Soh telah diserap ke skuad senior dan beraksi dalam semua lima aksi terakhir Kelantan namun prestasinya dikritik hebat penyokong kerana beberapa kali melakukan kesilapan mudah termasuk ketika tewas kepada PKNP FC Jumaat lalu.
Selain menyisihkan semua pemain senior tempatan, Fajr juga mengambil tindakan sama ke atas pemain-pemain import TRW apabila dikhabarkan tidak lagi berminat menggunakan khidmat Do Dong Hyun, Mohamed Ghaddar dan Morgaro Gomis – katanya disebabkan disiplin dan prestasi hambar namun penyokong merasakan mereka juga tiada dalam perancangan kerana masalah kewangan.
Walaupun ia dilihat sebagai langkah terbaik menyelamatkan kantung KAFA, penyokong yang pada mulanya bersetuju dengan keputusan-keputusan berani Fajr kini sudah mula meragui kredibilitinya dan berharap pasukan kesayangan mereka tidak menjadi mangsa kepada sikap terburu-buru dan kegagalan pengurusan KAFA membuat perancangan yang betul dan teratur.
Perlu diingat andai silap percaturan dan tersingkir ke Liga Premier musim depan, ia akan menjejaskan kantung KAFA dengan lebih teruk kerana mereka hanya akan mendapat separuh daripada geran tahunan RM3 juta yang diperuntukkan Malaysia Football League untuk pasukan Liga Super, iaitu sebanyak RM1.5 juta. OLEH MUHD AIMANÂ