Pasukan hoki lelaki negara menamatkan cabaran di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di tempat kelima setelah menundukkan Scotland 2-1 dalam aksi penentuan, pada Jumaat.
Walaupun gagal menepati sasaran awal layak ke separuh akhir, kemenangan ini setidak-tidaknya berjaya memperbaiki pencapaian menduduki tempat ketujuh di Glasgow empat tahun lalu.
Pada perlawanan di Stadium Hoki Gold Coast itu, ianya Scotland yang terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan padang Alan Forsyth pada minit kesebelas.
Skuad bimbingan Stephen Van Huizen kemudiannya berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan padang Shahril Saabah dan Amirul Aideed menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-39 setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti.
“Memang mengecewakan gagal berada di kelompok empat terbaik, tetapi barisan pemain tetap cuba berikan aksi terbaik untuk memastikan kita menjadi pasukan terbaik dari kalangan yang gagal ke separuh akhir,” kata Stephen.
Untuk rekod, Malaysia Tigers gagal melangkah ke separuh akhir setelah menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga di belakang India dan England setelah hanya berjaya melakar satu kemenangan iaitu ke atas Wales. – OLEH MUHAMMAD AIMAN