Kehadiran beberapa pelumba endurance terhebat dunia bukan halangan buat pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA apabila turun menggalas cabaran pada Kejuaraan EWC Sepang 8-Hours di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini.
Pengalaman beraksi pada kejuaraan Suzuka 8-Hours sejak beberapa tahun lalu bakal menjadi taruhan terbaik buat barisan pelumbanya meskipun acara di SIC minggu ini merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di litar berkenaan.
Rentak perlumbaan adalah sama, cuma situasi serta venuenya sahaja yang berbeza.
Kali ini, sejumlah 51 pasukan bakal bersaing melibat beberapa pasukan ternama dari Eropah.
Penentuan sudah pastinya bergantung dengan kemampuan jentera dan juga bagaiman kebijaksanaan para pelumba mengharungi suasana perlumbaan.
Strategi pasukan sudah pasti memainkan peranan penting, namun keutamaan tetap kepada tahap kecergasan para pelumba.
Ini kerana, perlumbaan endurance memerlukan kemahiran serta tahap kecergasan yang tinggi dan jika ia dapat dikekalkan maka segala bentuk cabaran mampu diatasi dengan stabil.
Itu antara aspek yang menjadi keutamaan pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA bagmi menjamin kestabilan pasukan mengharungi perlumbaan di Sepang minggu ini.
Seperti biasa, pasukan tersebut akan sekali lagi mempertaruhkan kecemerlangan jentera Honda CBR1000RR untuk mengharungi di Sepang minggu ini – jentera yang sememangnya telah terbukti mantap dalam setiao kejuaraan yang mereka sertai sepanjang tahun ini.
Hari ini, sesi latihan bebas bermula dan tumpuan lebih terarah untuk menguji kemampuan jentera serta mencari pelarasan terbaik sebelum berlangsungnya perlumbaan sebenar nanti.
Sesi hari ini turut melibat sesi latihan pada sebelah malam.
Seperti biasa, pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA sekali lagi mempertaruhkan tiga pelumba terbaik mereka iaitu Md Zaqhwan Zaidi, Andi Farid Idzihar dan Somkiat Chantra untuk menggalas cabaran mereka di EWC Sepang 8-Hours.
Kemampuan tiga pelumba ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi kerana masing-masing memiliki kemahiran serta kelebihan tersendiri.
Ia gandingan yang dilihat sangat mantap, malah diramal mampu malakar kejutan di Sepang nanti.
Zaqhwan antara pelumba yang sudah serasi dengan kejuaraan seperti ini dan kemampuannya tidak perlu diragukan lagi.
Malah, dia pernah bergelar juara keseluruhan kelas SS600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada edisi 2014 dan 2016.
Tahun ini dia terus mencipta nama di pentas ARRC untuk muncul pemenang ketiga keseluruhan dalam kelas ASB1000cc.
Beberapa pelumba yang bersaing di Sepang minggu ini juga tidak asing dengan Zaqhwan malah ada dalam kalangan mereka turut beraksi di pentas ARRC termasuk Broc Parkes yang akan menggalas cabaran pasukan YSRT-Yamaha dan juga Azlan Shah Kamaruzaman (BMW Sepang Racing).
Selain Zaqhwan, turut menjadi kepercayaan Honda Asia Dream Racing with SHOWA adalah Andi Farid Idzihar, yang juga bukan asing dalam perlumbaan endurance.
Dia pernah beraksi pada perlumbaan Suzuka 8-Hours bersama pasukan yang sama.
Sejarah kariernya cukup menarik kerana pelumba berusia 22 tahun ini mua memperlihatkan potensinya pada kejuaraan Asia Talent Cup pada musim 2014.
Walaupun masih cetek pengalaman ketika itu, dia menamatkan saingan musim tersebut di kedudukan keenam keseluruhan.
Pada musim berikutnya, Andi Farid kembali mempamerkan kemampuannya di Asia Talent Cup dan sekali lagi berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.
Edis 2015 itu turut menghadiahkan kenangan manis buat Andi Farid apabila dia memenangi perlumaan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.
Selepas itu bakatnya terus berkembang dan turut diberi pendedahan pada perlumbaan FIM CEV Sepanyol dalam kelas Moto3.
Selain itu, Andi Farid juga pernah beraksi dalam kelas SS600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia 2018 yang menyaksikannya berada di kedudukan kelima keseluruhan.
Musim ini dia beraksi dalam kelas ASB1000cc di ARRC menggunakan jentera Honda CBR1000RR.
Dia juga pernah beraksi pada perlumbaan Suzuka 8-Hours yang berjaya menduduki tmepat kedua ketika bergandingan dengan Aditya Pangestu.
Andi Farid juga bukan baharu dalam perlumbaan endurance khususnya di Suzuka 8-Hours, malah dia pernah beberapa kali berganding dengan Zaqhwan.
Justeru, dia tidak berdepan masalah untuk membantuk gandingan mantap dengan dua lagi rakan sepasukannya dalam pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA, iaitu Zaqhwan dan Somkiat.
Sementara itu, Somkiat Chantra pula merupakan pelumba yang semakin meningkat naik ketika ini.
Dia merupakan produk daripada Asia Talent Cup yang menyaksikannya muncul juara keseluruhan pada edisi 2016.
Selepas itu, bakatnya terus berkembang dan diberi pendedahan beraksi di pentas FIM CEV Sepanyol selama dua musim iaitu pada tahun 2016 dan 2017.
Pada musim 2018 di menyertai GP Thailand atas tiket wildcard dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan dalam kelas Moto3.
Pengalaman yang ada pada pelumba berusia 20 tahun itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk membantu pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA yang akan mengharungi perlumbaan endurance Sepang 8 Hour minggu ini.
Apa pun, jika tiga pelumba ini kekal konsisten, ia bukan perkara mustahil buat mereka untuk memenuhi impian pasukan yang mengintai peluang berada dalam kelompok 10 terbaik di Sepang nanti.
Profil Pelumba
Md Zaqhwan Zaidi
Asal: Selangor
Usia 24 tahun
Pencapaian:
2013 – Moto2
2014 – Juara kelas SS600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC);
2015 – Moto2
2016 – Juara keseluruhan kelas SS600cc di Kejaraan Motosikal Asia (ARRC)
2019 – Ketiga keseluruhan kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC)
Somkiat Chantra
Asal: Chonburi, Thailand
Usia: 20 tahun
Pencapaian:
2016 – Juara keseluruhan Asia Talent Cup
2018 – Moto3 (Kedudukan ke-33 keseluruhan)
2019 – Moto2 (Kedudukan ke-21 keseluruhan)
Andi Farid Idzihar
Asal: Bulukumba Sulawesi Selatan, Indonesia
Usia: 22 tahun
Pencapaian:
2014 – Asia Dream Cup (Kedudukan keenam keseluruhan)
2015 – Asia Talent Cup (Kedudukan kesembian keseluruhan dan memenangi perlumbaan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar)
2016 – Beraksi di FIM CEV Sepanyol dalam kelas Moto3 dan menduduki tempat ke-32 keseluruhan
2017 – Menduduki tempat kelima di Litar de Albacete pada kejuaraan FIM CEV Sepanyol dalam kelas Moto3
2018 – Menduduki tempat kelima keseluruhan kelas SS600cc di ARRC
2019 – Beraksi dalam kelas Moto2 pada kejuaraan MotoGP